Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin menggesa tindakan tegas diambil terhadap pemandu mabuk dan berada bawah pengaruh dadah kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai.
Katanya, golongan itu yang menyebabkan kematian dan kecederaan hendaklah dikenakan hukuman yang paling berat.
"Jika tidak, geng dadah dan puak peminum 'todi' dan arak akan menjadikan bahan-bahan haram itu sebagai kelonggaran untuk mereka meragut nyawa atau mencederakan orang lain.
"Sejak dahulu isu ini telah ditimbulkan, kita berharap Kerajaan Madani yang selalu membicarakan tentang peradaban dan ketamadunan dapat berbuat sesuatu yang tepat dalam perkara ini," katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.
Mohd Asri tidak menamakan mana-mana pihak atau kes secara khusus.
Bagaimanapun, semalam media melaporkan berlaku kemalangan maut di Jalan Johor Bahru–Kota Tinggi, Johor apabila sebuah kereta mewah melanggar lelaki yang sedang membantu seorang penunggang motosikal yang terbabas.
Menurut polis, siasatan awal mendapati pemandu BMW yang cedera ringan di muka itu memandu bawah pengaruh alkohol.