Bersatu ‘menolak’ analisis yang menyebut kerusi Tambun, yang disandang oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sebagai kerusi marginal.
Naib Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu menyifatkan analisis oleh seorang pemimpin kanan PKR itu sebagai ‘biadab’.
Secara sinis dia berkata, rakyat Tambun kini menikmati kesenangan atas hasil usaha seorang pemimpin “anugerah tuhan”.
“Ini satu analisis yang biadab disiarkan Malaysiakini yang memperkecilkan usaha ahli parlimen Tambun.
“Rakyat sekarang semua hidup senang dengan bekalan minyak pun berlebihan-lebihan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu dalam satu laporan eksklusif, Malaysiakini mendedahkan analisis strategik PRU16 parlimen Malaysia dalaman PKR yang dibentangkan seorang pemimpin kanannya baru-baru ini mendedahkan naratif yang jauh berbeza.
Dokumen bertajuk "Analisa Strategik PRU16: Ringkasan Mengikut Tier" yang dilihat Malaysiakini menunjukkan bahawa PKR sedang dalam mod berjaga-jaga, bergelut dengan realiti bahawa penguasaan mereka di kerusi-kerusi utama semakin terhakis.
Dalam senarai kerusi yang dimenangi pada PRU15, beberapa kawasan kini diletakkan dalam kategori Tier 2B (marginal), termasuklah Tambun.
Pada PRU15, Anwar memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,735 undi dalam pertembungan sengit menentang Ahmad Faizal.
Sumber berkata, walaupun berstatus perdana menteri, data dalaman PKR menunjukkan bahawa sentimen di Tambun tidak menunjukkan peningkatan zon selamat dan memerlukan “gerak kerja mikro” di peringkat Jentera Dalam Mukim (JDM).

Justeru, katanya, PKR tidak lagi boleh bergantung kepada pesona Anwar sebagai pemimpin nasional, sebaliknya perlu menyelesaikan isu-isu setempat yang sangat teknikal.
Sementara itu Ahmad Faizal terus menyindir Anwar sebagai ‘rahmat’ khususnya kepada pengundi kawasan itu.
“Ini satu analisis biadab terhadap ahli parlimen Tambun.
“Ahli parlimen Tambun bukan sahaja rahmat kepada pengundi yang diturunkan tuhan bahkan rahmat turut dinikmati alam, pokok, ayam, itik dan haiwan lain,” tegasnya yang juga bekas menteri besar Perak.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan komen PKR Tambung berkaitan analisis dibentangkan itu serta ulasan Faizal.





