Ketua Penerangan PAS Fadhli Shaari secara terbuka mencabar Umno untuk menyatakan pendirian tegas sama ada parti itu berani menyanggah kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung ketiadaan keperluan terhadap dasar pendidikan bumiputera yang jelas.
Fadhli berkata, Umno sebagai penganjur utama Kongres Pendidikan bumiputera tidak boleh sekadar berdiam diri apabila hala tuju pendidikan kaum itu kini dilihat semakin kabur di bawah pentadbiran semasa.
"Dalam sejarah pembangunan ekonomi Malaysia, kemajuan bumiputera tidak pernah berlaku secara kebetulan, ia lahir daripada dasar yang jelas, institusi tersusun dan keberanian politik untuk mengakui bahawa ketidakseimbangan struktural memerlukan penyelesaian terarah.
"Apabila perdana menteri secara terbuka menyatakan dalam ucapan di Majlis Perasmian Sambutan 60 Tahun Mara bahawa tidak perlu ada dasar pendidikan Bumiputera yang jelas, kenyataan ini bukan sahaja mengejutkan, tetapi menimbulkan persoalan besar terhadap arah sebenar dasar negara," katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu menegaskan, negara tidak boleh bergantung kepada dasar yang kabur dan tidak berstruktur kerana pembangunan memerlukan arah jelas, institusi yang kuat dan keberanian politik untuk membuat keputusan tidak popular tetapi perlu.
"Persoalan yang lebih penting sekarang ialah pendirian politik.
"Jika benar kongres tersebut membawa agenda nasional, maka Umno mesti menyatakan secara terbuka sama ada mereka menyokong keperluan dasar pendidikan bumiputera yang jelas... atau memilih untuk menerima pendekatan perdana menteri," katanya.

Mengulas ucapan Anwar pada Majlis Perasmian Sambutan 60 Tahun Mara 3 Mei lalu, Fadhli menyifatkan kegagalan menetapkan dasar yang eksplisit sebagai satu risiko besar kepada ekonomi awam.
Katanya, bahawa tanpa dasar yang jelas, tiada indikator yang boleh digunakan untuk mengukur kemajuan atau menuntut akauntabiliti sekiranya berlaku kegagalan dalam pelaksanaan.
"Dalam ekonomi pembangunan, dasar tersirat tidak pernah mencukupi untuk menangani ketidakseimbangan struktural.
"Negara-negara yang berjaya membangunkan sektor strategik mereka tidak bergantung kepada pendekatan kabur, sebaliknya menggunakan dasar yang spesifik, terarah dan boleh diukur," katanya lagi.
Saran kementerian khusus
Fadhli turut menyentuh mengenai "kegagalan penyelarasan" apabila agenda bumiputera kini tersebar di pelbagai kementerian tanpa satu pusat pemantauan yang berkuasa.
Sehubungan itu, beliau menyokong cadangan pakar ekonomi agar diwujudkan kementerian khusus atau memperkasakan Mara sebagai teras rantaian dasar pembangunan kaum tersebut.
"Menolak dasar yang jelas atas nama keadilan sebenarnya membuka ruang kepada ketidakadilan yang lebih besar kerana tanpa mekanisme khusus, kumpulan yang sudah mempunyai kelebihan akan terus mendominasi.
"Kegagalan untuk menyatakan pendirian tegas adalah isyarat bahawa agenda bumiputera telah menjadi sekadar slogan tanpa komitmen dasar yang sebenar," tegas Fadhli.





