Seorang wanita warga emas maut akibat ditetak di sebuah rumah di Persiaran Pegoh Aman 2, Taman Desa Aman, di Ipoh semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah berkata wanita berusia 70 tahun itu ditemukan dalam keadaan terbaring, dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku antara 4.45 petang hingga 10 malam, iaitu kali terakhir mangsa keluar rumah sehingga ditemukan dibunuh, dan anak mangsa menghubungi polis kira-kira 10 malam.
"Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kecederaan dipercayai akibat ditetak pada bahagian badan, kepala dan leher mangsa.

"Seorang lelaki tempatan berumur 52 tahun yang juga jiran kepada mangsa telah ditahan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan. Suspek pernah dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta pada Februari lepas untuk menjalani rawatan psikiatri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Najib berkata pihaknya turut menemukan sebilah parang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Motif kejadian masih dalam siasatan, dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk proses bezah siasat," katanya.
Muhammad Najib turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Mereka yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh menerusi talian 05-2451500 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.





