PKR menyifatkan cadangan PAS agar Parlimen dibubarkan sekiranya DAP keluar daripada pentadbiran kerajaan persekutuan sebagai saranan yang tidak cukup masak.
Ini kerana, kata Timbalan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Shafi Muhammad, pentadbiran kerajaan Madani bawah pimpinan Anwar Ibrahim kekal stabil dan berkeupayaan melengkapkan penggal penuh.

“Pentadbiran sesebuah kerajaan dibina hasil daripada mandat rakyat dan seharusnya diselesaikan dalam tempoh satu penggal penuh apatah lagi kecemerlangan pentadbiran itu terbukti memacu pertumbuhan ekonomi negara.
"Jika akar umbi DAP mengambil keputusan agar pimpinan mereka meninggalkan posisi pentadbiran, keadaan tetap stabil kerana anggota parlimen mereka masih lagi menjadi sebahagian daripada blok penyokong kerajaan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Saifuddin mengulas cadangan Penolong Setiausaha Agung Pas, Khairul Faizi Ahmad Kamil hari ini bahawa rakyat Malaysia perlu diberi peluang untuk menentukan hala tuju negara menerusi mandat baru sekiranya DAP menarik diri daripada kabinet.
Katanya, langkah sedemikian bukan sekadar melibatkan rombakan pentadbiran, sebaliknya menjadi petanda bahawa kerajaan perpaduan sudah kehilangan kesepaduan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata kenyataan pemimpin PAS itu jelas menunjukkan kegagalannya untuk memahami asas pembentukan kerajaan yang dipilih rakyat.
Tambahnya, sebarang tindakan DAP keluar daripada posisi pentadbiran merupakan langkah strategik untuk mengukuhkan struktur parti dan perlu dihormati oleh parti komponen lain.
“Jika akar umbi DAP mengambil keputusan agar pimpinan mereka meninggalkan posisi pentadbiran, keadaan tetap stabil kerana ahli-ahli Parlimen mereka masih lagi menjadi sebahagian daripada blok penyokong kerajaan.
“Keputusan DAP itu jika berlaku adalah lebih kepada tindakan strategik mereka bagi menumpukan kepada pengukuhan stuktur parti dan sewajarnya dihormati oleh semua komponen sahabat dan juga parti lain,” katanya.

Saifuddin turut menjelaskan bahawa sokongan lebih dua pertiga anggota parlimen membolehkan Kerajaan Madani melengkapkan jumlah Menteri Kabinet bagi memastikan kelancaran pentadbiran tanpa sebarang masalah.
Mengulas prestasi menteri dan timbalan menteri DAP, katanya keberadaan mereka tidak memberi impak buruk sebaliknya mereka tuntas menjalankan amanah meskipun berdepan tekanan fitnah politik.





