30.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, July 7, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ‘Budaya surat sokongan, Ali Baba terhapus bila integriti atasi ‘kabel’

    Shopee Sale

    Usaha menghapuskan amalan surat sokongan daripada pemimpin politik serta budaya Ali Baba dalam kalangan usahawan hanya boleh dicapai apabila sistem kerajaan beralih daripada model berasaskan pengaruh kepada pendekatan yang mengutamakan merit, integriti dan prestasi, kata pakar ekonomi.

    Provos dan Dekan Institut Pengajian Siswazah Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Barjoyai Bardai, berkata amalan berkenaan telah berakar umbi dalam ekosistem keusahawanan tempatan sejak sekian lama.

    Menurutnya, langkah membendung amalan sedemikian tidak memadai dengan sekadar kenyataan daripada pihak eksekutif.

    "Apabila usahawan percaya kelayakan lebih penting daripada hubungan (dengan ahli politik), barulah reformasi ini benar-benar mencapai matlamatnya.

    "Kejayaan bukan diukur daripada berapa banyak kenyataan yang dikeluarkan," katanya kepada Malaysiakini.

    Menurut Barjoyai, automasi ekosistem ekonomi melalui penggunaan data digital, sistem pengesahan identiti digital (e-KYC), analitik kredit serta pangkalan data perniagaan yang lebih lengkap mampu menyokong usaha itu dengan membolehkan penilaian dibuat secara lebih objektif tanpa bergantung kepada surat sokongan.

    Pada 4 Julai lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memberi amaran bahawa budaya menggunakan surat sokongan dalam kalangan agensi Bumiputera untuk mendapatkan kelulusan dana perlu dihentikan sekiranya pemohon tidak layak.

    Anwar menegaskan amalan yang sudah sekian lama diwarisi itu boleh memberi kesan terhadap prestasi agensi Bumiputera.

    “Saya dah bagi amaran, ketua yang ada keupayaan kita bantu. Kalau pakai surat sokongan sahaja itu dah langkah nak melingkupkan agensi seperti kita warisi puluh tahun.

    “Mengapa kita pakai pinjaman, sebab dia ada kaitan dengan rapat dengan orang-orang tersebut atau surat-surat kuninglah, hijaulah, birulah. Ini yang masalah merosakkan kita, akhirnya kita bantu dan perniagaan itu lingkup kerana orang-orang itu tidak komited,” katanya.

    Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, antara mekanisme berkesan ialah mewujudkan sistem penilaian pembiayaan yang standard, digital dan berasaskan skor supaya setiap permohonan dinilai menggunakan kriteria yang sama.

    Pendekatan itu juga katanya dapat mengurangkan campur tangan manusia dan pengaruh luar dalam proses kelulusan.

    Barjoyai turut berkata audit berkala dan pemantauan selepas pembiayaan penting bagi memastikan dana benar-benar digunakan oleh usahawan yang layak, di samping mengenakan tindakan tegas terhadap pihak yang didapati menggunakan syarikat proksi atau mengamalkan budaya Ali Baba.

    MENARIK:  Ribut Senyar: Hujan lebat berterusan dijangka bermula tengah malam ini

    Dia juga mencadangkan kerajaan menerbitkan statistik kelulusan mengikut sektor, saiz perusahaan dan prestasi bagi membolehkan masyarakat menilai keberkesanan agihan dana secara lebih telus.

    "Pendekatan ini bukan sekadar menghalang penyalahgunaan, malah meningkatkan keyakinan usahawan peluang pembiayaan diberikan secara adil.

    "Namun cabaran terbesar bukanlah teknologi, tetapi perubahan budaya. Selama bertahun-tahun, sebahagian usahawan menganggap hubungan politik atau orang tengah sebagai jalan paling cepat mendapatkan bantuan.

    "Persepsi ini perlu diubah melalui konsistensi kerajaan dalam melaksanakan dasar tanpa kompromi,"katanya lagi.

    Cari dana sendiri

    Sementara itu, pakar ekonomi dari Universiti Malaya (UM), Mohd Nazari Ismail, berpendapat cabaran utama ialah mengubah nilai masyarakat kerana persekitaran sedia ada membolehkan amalan sedemikian terus berlaku.

    "Ahli politik perlu sokongan dan mahu terus kekal berkuasa, sedangkan penyokong perlukan peluang perniagaan dalam keadaan persaingan sengit.

    "Rakyat ramai yang bersikap kebendaan dan tak takut dosa, hampir mustahil untuk dicapai. Kena ubah nilai masyarakat dulu," katanya.

    Dia mencadangkan supaya kerajaan tidak lagi terlibat secara langsung dalam proses pemberian kontrak kerana ia merupakan antara punca utama gejala itu sukar dibanteras.

    "Ahli perniagaan kena cari dana sendiri dan bukan dapat dana dari kerajaan. Selagi banyak peluang perniagaan diberikan oleh kerajaan dan ahli politik masih terlibat dalam membuat keputusan berkenaan siapa yang boleh dapat kontrak, payah nak tukar.

    "Jadi kerajaan kena kurangkan penglibatan dalam ekonomi negara," tambahnya.

    Menurut Mohd Nazari, agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu memainkan perananan yang lebih tegas dan aktif dalam memantau ketelusan keputusan kerajaan.

    Buat masa ini, Malaysia belum mempunyai akta khusus bagi membendung amalan Ali Baba.

    Akta sedia ada seperti Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Akta Persaingan 2010, Akta Syarikat 2016 serta pelbagai peruntukan undang-undang kecil masih belum berjaya membendung kegiatan tersebut secara menyeluruh.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah