Belgium menyingkirkan Amerika Syarikat (AS) daripada kejohanan Piala Dunia mereka pada Selasa, selepas dua gol Charles De Ketelaere memastikan kemenangan 4-1 yang dibayangi oleh pertikaian hebat berhubung penggantungan Folarin Balogun.
AFP melaporkan kemenangan itu menyaksikan skuad Belgium bakal berdepan Sepanyol di peringkat suku akhir, manakala AS menyusuli penganjur bersama, Kanada dan Mexico, tersingkir daripada kejohanan selepas dikalahkan pada pusingan 16 dengan aksi yang hambar.

Tumpuan sebelum perlawanan terarah kepada kedudukan Balogun dalam kesebelasan utama AS, selepas Presiden AS Donald Trump meminta Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) menyemak semula penggantungan satu perlawanan penyerang itu akibat kad merah, dan badan induk tersebut akur dalam keputusan yang mencetuskan kontroversi.
Bagaimanapun, kesebelasan utama Belgium turut menampilkan kejutan tersendiri apabila pemain utama seperti Kevin De Bruyne dan Jeremy Doku direhatkan di bangku simpanan. Strategi jurulatih Rudi Garcia terbukti berkesan apabila De Ketelaere menjaringkan gol awal untuk meredakan suasana ceria di Seattle.
Malik Tillman menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma, namun De Ketelaere dengan pantas meletakkan semula Belgium di hadapan. Kesilapan besar penjaga gol Matt Freese dan gol lewat Romelu Lukaku akhirnya menamatkan sisa perjuangan skuad AS itu.
Tindakan Fifa untuk menangguhkan hukuman gantung Balogun selepas dia dibuang padang dalam perlawanan terdahulu menentang Bosnia dan Herzegovina dikecam hebat oleh peminat, pakar dan pemain bola sepak di seluruh dunia, namun perkara itu tidak dihiraukan oleh penyokong di Seattle.

Sorakan gemuruh bergema di stadium sebaik sahaja nama Balogun diumumkan dalam kesebelasan utama, jauh lebih kuat berbanding sorakan untuk pemain tumpuan AS, Christian Pulisic.
Sorakan "USA" kemudian bergema di seluruh stadium, menenggelamkan sekumpulan kecil penyokong Belgium pada minit-minit awal perlawanan.
Namun, kegembiraan kem AS tidak bertahan lama. Majoriti daripada 67,000 penyokong senyap pada minit kesembilan apabila De Ketelaere menjaringkan gol dengan menolak masuk bola dari jarak dekat selepas hantaran lintang Nicolas Raskin melepasi pertahanan yang longgar.
Ini merupakan kali pertama skuad Amerika melepaskan gol pembukaan sepanjang Piala Dunia ini. Dengan suasana stadium yang hambar, tiada kebangkitan segera kelihatan di atas padang. Jentera tengah mereka tewas manakala barisan pertahanan kelihatan gugup.
Pada minit ke-30, Balogun dikasari di kawasan luar kotak penalti dan kembali membangkitkan semangat penyokong. Dia melambai-lambaikan tangannya dengan agresif ketika Malik Tillman – yang baharu sahaja menjaringkan gol sepakan percuma menentang Bosnia – bersedia mengambil sepakan.
Rembatan Tillman melepasi benteng Belgium dan menerobos masuk ke gawang, membuatkan stadium bergegar dengan sorakan.
Impian berakhir
Bagaimanapun, kegembiraan itu sekali lagi hanya seketika. Pada minit ke-33, De Ketelaere melompat tinggi menyambut hantaran lintang Leandro Trossard dan dengan mudah menewaskan Tim Ream yang hilang imbangan untuk menjaringkan gol keduanya.
AS cuba merapatkan jurang sebelum separuh masa pertama berakhir, melalui rembatan tinggi Balogun hasil hantaran jauh Tillman, sebelum dia gagal menyambut satu lagi hantaran jauh daripada pemain tengah Bayer Leverkusen itu.
Jurulatih AS Mauricio Pochettino menukar formasi pada separuh masa kedua, meletakkan Gio Reyna di posisi nombor 10 dan menolak Weston McKennie ke bahagian kanan. Skuad ASa memulakan semula permainan dengan lebih intensif dan melancarkan serangan lebih tinggi di kawasan lawan.
Namun, kesilapan sendiri membawa padah pada minit ke-57. Freese keluar untuk meluru ke arah bola jauh Belgium, berpusing untuk mengelak asakan De Ketelaere, namun dia teragak-agak untuk melakukan hantaran.
De Ketelaere merampas bola dan melorongkannya kepada Hans Vanaken, yang tidak melepaskan peluang untuk menjaringkan gol ke gawang yang kosong dari jarak jauh.
Pulisic terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan beberapa minit kemudian, dan bersamanya ranap impian AS untuk mara ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak 2002.

Pemain penggantinya, Sebastian Berhalter, melepaskan rembatan deras yang sedikit tersasar pada minit ke-79, dan cubaan jarak dekat Balogun diselamatkan tidak lama kemudian.
Bagaimanapun, Chris Richards melakukan kesilapan apabila menyerahkan bola kepada Lukaku pada masa kecederaan, dan penyerang veteran itu tidak mempersiakan peluang untuk melengkapkan kemenangan besar berkenaan.





