Bersatu Selangor melancarkan kempen “Demokrasi Mati” selepas tiga Adunnya digantung oleh Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San.
Ketua Pemuda Bersatu Selangor, Muhammad Afiq Asyraf Mohd Nardin mendakwa Weng San bertindak secara tidak demokratik apabila menyekat suara pembangkang, sekali gus mencemarkan imej Dewan.
“Suara pembangkang di dalam Dewan Negeri Selangor telah dibungkam secara sistematik menggunakan kuasa Speaker Dewan Negeri sendiri.
“Sepatutnya suara pembangkang perlu didengari dan tidak disekat begitu sahaja, lebih-lebih lagi apabila mereka mengikuti prosedur serta peraturan yang telah ditetapkan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, hari ini.

Semalam Adun Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham diarah keluar daripada persidangan DUN Selangor dan digantung dua hari selepas mengingkari arahan Weng San.
Weng San mengeluarkan arahan itu apabila Muhammad Hilman tidak menghiraukan arahannya untuk duduk selepas Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaludin selesai menjawab pertanyaan lisan yang dikemukakan berhubung potensi pendapatan baru negeri melalui sumber tenaga boleh diperbaharui.
Kekecohan bermula apabila Muhammad Hilman bangkit untuk meminta kebenaran mengemukakan soalan tambahan bagi isu tersebut sebelum Lau mengarahkan dia untuk duduk namun tidak dihiraukan.
Sebelum itu dua Adun PN digantung selama tiga hari kerana mencabar keputusan speaker menolak usul merujuk Adun Seri Kembangan, Wong Siew Ki ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
Mereka ialah Adun Taman Medan, Dr Afif Bahardin dan Adun Kuang, Rafiq Abdullah.
Susulan itu, Muhammad Afiq berkata mereka akan menggerakkan kempen “Demokrasi Mati” secara digital serta menerusi siri jelajah ke beberapa kawasan parlimen dan dewan undangan negeri di Selangor.
Selain itu katanya, Bersatu Selangor akan turut menganjurkan program wacana melibatkan tokoh akademik dan intelektual bagi membincangkan isu-isu yang didakwa semakin menghimpit kehidupan rakyat di negeri itu.





