Langkah Emiriah Arab Bersatu (UAE) keluar daripada daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutu OPEC+, dijangka tidak menjejaskan pakatan itu dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, ini berkemungkinan besar menjejaskan disiplin atau amalan yang sekian lama menyokong keupayaan perkumpulan itu dalam menyelaras bekalan, kata penganalisis yang juga Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes.
Pada masa sama, beliau menegaskan keputusan UAE itu tidak mengubah realiti kedudukan Selat Hormuz sebagai titik penting dalam aliran minyak global.
“Tindakan UAE itu tidak akan menjejaskan OPEC dalam masa semalaman, tetapi tetap meninggalkan impak yang selama ini sebegitu penting iaitu disiplin.
“Anda boleh katakan sebanyak mana pun jumlah tong minyak yang diinginkan, tetapi jika bekalan itu gagal bergerak secara bebas, ini kekal terhalang dan harga pula tetap disokong oleh risiko,” katanya kepada Bernama.
Semalam, UAE mengumumkan keputusan untuk keluar daripada OPEC dan OPEC+ berkuat kuasa 1 Mei ini atas alasan kepentingan negara serta strategi tenaga bagi jangka panjang.
Langkah itu dilihat sebagai tamparan hebat kepada perkumpulan negara pengeluar minyak di tengah-tengah kejutan tenaga susulan krisis membabitkan Iran.
“Apa yang bakal berlaku selepas ini pasti menarik. Sebaik saja konflik itu mereda dan perkapalan kembali normal, pasaran berpotensi menyaksikan peningkatan pengeluaran secara besar-besaran.
“UAE sudah lama memberi isyarat mahukan kebebasan bagi menghasilkan lebih banyak dan memaksimumkan nilai kapasitinya. Tindakan keluar daripada OPEC membatalkan had itu. Apa yang berlaku bukan lagi episod jangka pendek, tetapi nyata untuk jangka sederhana,” katanya.
Innes berkata senario pasaran semasa masih didorong oleh isu gangguan dan bukannya lebihan bekalan, terutama Selat Hormuz yang kekal sebagai laluan transit utama.
Namun, prospek itu sebaliknya boleh berubah apabila ketegangan reda dan perkapalan kembali normal, dengan risiko beralih ke arah lebihan bekalan dalam jangka sederhana.
“Bagi tempoh itu misalnya, sebaik halangan di Selat Hormuz dapat diatasi, risiko akan banyak beralih kepada peningkatan bekalan yang menjadi lebih ketara berbanding sebaliknya,” katanya.
Innes juga menyifatkan tindakan UAE itu sebagai paparan pertimbangan strategik dan politik, termasuk objektif jangka panjang untuk meraih lebih banyak kelonggaran dalam mengurus pengeluaran serta memaksimumkan manfaat kapasitinya.
Pada masa sama, beliaiu berkata keputusan UAE itu turut mendedahkan perpaduan OPEC yang makin lemah, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kemampuan kumpulan itu mengekalkan disiplin kolektif pada masa depan.
“Apabila pengeluar utama dari Teluk mula menjauhkan diri, ini hanya mencetuskan persoalan mengenai sejauh mana anggota lain mampu terus kekal berpegang pada pendirian secara bersama,” katanya.
Mengulas mengenai kemungkinan tindakan UAE itu disusuli dengan negara anggota lain, beliau berkata walaupun senario itu tidak dijangkakan dalam masa terdekat, kemungkinan itu tetap ada.
“OPEC tidak runtuh, namun cengkamannya makin longgar,” katanya.
Keadaan itu, kata Innes, boleh mendorong pengeluar memberi lebih penekanan kepada aspek penguasaan pasaran berbanding sekatan pengeluaran secara bersama.
Beberapa negara anggota telah bertindak meninggalkan OPEC sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk Indonesia (2016), Qatar (2019), Ecuador (2020) dan Angola (2023).





