Mesyuarat exco kerajaan Negeri Sembilan berlangsung seperti biasa meskipun tanpa exco dari Umno, BN yang telah meletakkan jawatan susulan penarikan sokongan 14 Adun Umno terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun.
Ketika ditemui pada sidang media selepas mesyuarat itu, Aminuddin yang kini meneruskan tugas melalui kerajaan minoriti berkata dia hanya menunggu arahan lanjut daripada pucuk pimpinan partinya.
Katanya, Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mahukan dia meneruskan tugas sebagai menteri besar seperti biasa bagi memastikan kelancaran kerajaan.
"Kita juga telah diminta untuk meneruska mesyuarat hari ini. Perjalanan kerajaan hari ke hari berjalan seperti biasa.
"Nasihat Tuanku teruskan mesyuarat selesaikan masalah rakyat negeri harus bergerak ke hadapan. Kita teruskan mesyuarat, kita tak nak ada masalah kepada rakyat.
"Saya serahkan kepada perundangan, kepada Tuanku. Kalau dia kata kerajaan hari ini setakat ini, setakat ini. Saya diminta teruskan (tugas) oleh perdana menteri sehingga satu masa yang sesuai," katanya.
Kemelut politik Negeri Sembilan tercetus apabila 14 Adun Umno, BN menarik balik sokongan kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Aminuddin.
Pengerusi Umno negeri Jalaluddin Alias mmengumumkan perkara itu dalam sidang media yang turut dihadiri 12 Adun BN.
Susulan itu, Aminuddin meneruskan tugas sebagai menteri besar dengan mengumumkan kerajaan minoriti yang ditunjangi DAP dan Amanah.
Perikatan Nasional (PN) kemudian mengumumkan kesediaan lima Adun mereka untuk bekerjasama dengan BN.
PN mempunyai tiga Adun daripada PAS iaitu Kamarol Ridzuan Mohd Zain (Paroi), Abdul Fatah Zakaria (Bagan Pinang) dan Mohd Fairuz Mohd Isa (Serting).
Sementara dua lagi Adun Bersatu ialah Mohamad Hanifah Abu Baker (Labu) Ridzuan Ahmad (Gemas).
Dalam pada itu, Aminuddin berkata mesyuarat kerajaan negeri hari ini tidak membincangkan isu perjawatan termasuk kekosongan jawatan exco yang ditinggalkan Adun BN.
"Kita tak bincang hal-hal tentang penjawatan. Kekosongan empat exco masih tak bincangkan untuk pengisian untuk perkara selanjutnua.
"Kita tunggu (apa) perkara mungkin berlaku dalam tempoh seminggu dua ini, jawatan menteri besar masih bergantung kepada kuasa Tuanku," katanya lagi.
Ditanya mengenai spekulias bahawa empat Adun BN lain akan mengisi kekosongan jawatan exco yang ditinggalkan seperti dilaporkan sesetengah media hari ini, Aminuddin berkata dia tidak mempunyai maklumat mengenainya.
Tambahnya lagi, buat masa ini belum ada sebarang perbincangan dilakukan dengan BN selepas krisis itu tercetus.
Sementara itu, Aminuddin ketika diminta mengulas kenyataan pemimpin Umno bahawa krisis perlembagaan menjadi punca BN menarik sokongan terhadapnya, dia berkata ia hanya pandangan.
"Saya rasa itu pandangan mereka, sebab kita lihat bahawa ini institusi adat yang patutnya kerajaan negeri berkecuali, cuma kita boleh menasihati. Tapi kita ada had kita, sebab kuasa ini kuasa tentang adat tentang raja," ujarnya.
Jelas Aminuddin, dia menyerahkan kepada pucuk pimpinan partinya untuk menentukan pendekatan bagi menyelesaikan kemelut politik.
"Saya serahkan kepada mereka (pucuk pimpinan parti)...saya ikut arahan pusat," katanya.





