Bekas Ketua Bersekutu Bersatu Johor Datuk Tan Lek Khang cedera parah selepas dipercayai tertembak diri sendiri di bahagian dada ketika menjalani latihan menembak di Lapang Sasar Ladang Rem, Kota Tinggi petang semalam.
Ketua Polis Johor CP Datuk Ab Rahaman Arsad berkata Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menerima laporan berkaitan kejadian membabitkan mangsa yang berusia 40 tahun itu pada 3.30 petang.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa yang juga ahli perniagaan dipercayai tertembak diri sendiri ketika sedang dalam proses mengosongkan peluru daripada pistol miliknya sejurus tamat sesi latihan menembak.
"Berdasarkan keterangan saksi, mangsa dipercayai sedang mengosongkan peluru (pada pistolnya) namun berkemungkinan masih terdapat sebutir peluru di dalam senjata tersebut menyebabkan berlakunya letupan satu das tembakan terlepas ke arah dirinya sendiri.

"Jadi kita nak betulkan dakwaan yang mengatakan mangsa ditembak rakan.
“Menurut saksi yang ada di tempat kejadian, mangsa tertembak diri sendiri," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kotinjen Johor di Johor Bahru hari ini.
Ab Rahaman berkata mangsa yang tidak sedarkan diri sejurus kejadian telah dihantar ke Hospital Kota Tinggi sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk menjalani pembezahan dan kini berada dalam keadaan stabil.
Beliau berkata mangsa mempunyai lesen senjata api yang sah sejak 2022 untuk tujuan keselamatan diri serta sukan menembak dan insiden itu tidak melibatkan jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sembilan saksi yang berada di lokasi kejadian juga telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan, termasuk lima pengawal peribadi, anak tiri mangsa berusia 19 tahun, jurulatih serta dua rakan mangsa.
Beliau berkata dua pucuk pistol yang digunakan bersama kelopak dan peluru turut dirampas untuk tujuan siasatan forensik serta ujian balistik bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Kes disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Senjata 1960 kerana menyebabkan kecederaan dengan senjata api tanpa alasan sah dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera dengan perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang.
Tinjauan Bernama di HSI malam tadi mendapati rakan-rakan politik mangsa termasuk bekas Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin serta ahli keluarga hadir di hospital untuk menziarah dan mengetahui perkembangan terkini Tan.

Sementara itu, menurut satu kenyataan menerusi Facebook rasmi Tan Lek Khang, Tan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi tujuan pemantauan lanjut selepas menjalani proses pembezahan selama empat jam semalam bagi mengeluarkan peluru.
“Keadaan beliau kian stabil dan pihak keluarga memohon doa daripada semua dan taulan yang mengenali beliau,” menurut kenyataan itu.
Pada 13 Feb lepas, Tan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Bersekutu Bersatu Johor dan Ketua Bersekutu Bersatu Bahagian Labis.





