29 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 19, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Berbaloikah undi Bersama, tanya MP PAS

    Shopee Sale

    Di sebalik sambutan yang diberikan terhadap penubuhan Bersama, seorang ahli parlimen PAS membangkitkan persoalan jika pengundi berbaloi memberikan sokongan kepada parti yang menjadi wadah baru Rafizi Ramli serta Nik Nazmi Nik Ahmad itu.

    Bagi Syahir Sulaiman, kedua-dua bekas orang kuat PKR terbabit diakui berani dengan melakukan langkah ‘kamikaze’ melalui percaturan terbaru mereka.

    Pun begitu Ahli Parlimen Bachok itu mengangap Bersama lebih membawa masalah kepada PH berbanding PN kerana mereka menyasarkan segmen pengundi yang sama, khususnya di kawasan campuran kaum, lokaliti bandar dan wilayah pantai barat.

    “Bagi PN, cabarannya terletak pada pertembungan idea dan polisi untuk menarik sokongan anak muda serta pengundi atas pagar.

    “Namun kredibiliti ‘raja formula’ sedikit menjejaskan reputasi Rafizi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dia yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS juga berpendapat kemunculan Bersama akan menjadikan ruang demokrasi negara lebih meriah, terutama melalui kritikan dasar, pembongkaran isu dan kelemahan kerajaan serta serangan terhadap elit penguasa.

    “Namun persoalan lebih besar ialah kedudukan parti itu selepas pilihan raya – dengan siapa Bersama akan bergabung?” katanya lagi.

    MENARIK:  Simpan hidupan liar tanpa lesen, peniaga didenda RM70,000

    Syahir yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS menegaskan suasana semasa menunjukkan hampir mustahil ada sebuah parti tunggal mampu membentuk kerajaan secara bersendirian, sama ada di peringkat negeri atau persekutuan.

    “Walaupun masih terlalu awal, tetapi inilah antara pertimbangan utama pengundi menjelang PRU ke-16 nanti.

    “Adakah berbaloi untuk menberi satu undi kepada parti baru itu?” katanya.

    Rafizi kini mengetuai Bersama – atau nama penuhnya Parti Bersama Malaysia – bersama Nik Nazmi sebagai regunya selepas mereka meninggalkan PKR.

    Untuk rekod Rafizi merupakan bekas Timbalan Presiden PKR manakala Nik Nazmi menjadi naib presiden parti sebelum kedua-duanya kalah dalam pengundian parti pada Mei tahun lalu.

    Bersama – sebelum ini merupakan parti kecil yang berpusat di Pulau Pinang sejak 2016 – kini dijenamakan sebagai kuasa ketiga politik Malaysia dengan menjadikan isu kos sara hidup, reformasi institusi, agenda alam sekitar sebagai antara teras perjuangan mereka.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah