Sayap pemuda dua gergasi politik Melayu bakal bertemu di pentas rasmi apabila Pemuda Umno mengesahkan kehadiran mereka ke Muktamar Pemuda PAS yang dijadualkan berlangsung di Kota Bharu, Kelantan pada 3 September ini.
Langkah berkenaan menandakan keterbukaan ruang interaksi dan hubungan diplomatik politik antara kedua-dua sayap parti berkenaan.
Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh mengesahkan komitmennya untuk memenuhi undangan rasmi daripada kepimpinan Pemuda PAS.
"Memang ada jemputan daripada Pemuda PAS untuk menghadiri muktamar berkenaan dan insya-Allah, saya sudah menyatakan komitmen untuk hadir," katanya yang dipetik oleh Berita Harian hari ini.
Adun Merlimau itu berkata demikian selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri sempena hari jadi Yang di-Pertua Negeri, Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, di Melaka.
Fokus halatuju PRN dan PRU
Dalam perkembangan berkaitan, Akmal turut mengulas mengenai Perhimpunan Agung Pemuda Umno yang bakal diadakan pada 10 September nanti.
Menurutnya, perhimpunan itu akan menjadi medan strategik bagi merangka persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Antara fokus utama termasuk pengumpulan idea dan cadangan daripada perwakilan akar umbi untuk dipertimbangkan sebagai teras manifesto parti.
"Pada perhimpunan itu nanti kita akan buka untuk perwakilan mencadangkan perkara terbaik untuk dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) dalam mendepani PRU.
"Kita akan dengar pandangan serta cadangan daripada perwakilan dan seterusnya dibawa berbincang ke peringkat tertinggi parti untuk diputuskan.
"Saya yakin, perwakilan Pemuda banyak idea yang boleh diketengahkan dan sudah pasti kita akan pertimbangkan," katanya lagi.





