ULASAN l Kalau kita masih ingat, pada saat media sosial mempertikaikan urus tadbir tabung-tabung dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, khususnya 1MDB dan Tabung Haji (TH), ada pemimpin politik yang mempertahankan mereka.
PAS secara terbuka berkata, ia puas hati dengan taklimat ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, manakala setiausaha agung Umno sekarang, Asyraf Wajdi Dusuki, memuji pengurusan TH.
Pada 7 Ogos 2017, media massa melaporkan yang PAS puas hati selepas mendengar penjelasan 1MDB mengenai pelan pembayaran balik hutang kepada agensi-agensi kerajaan, dan PAS mahu hal itu dipantau oleh Parlimen.

Awal daripada itu, pada 28 April 2016, Asyraf Wajdi, yang ketika itu timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, memuji ketua pegawai eksekutif TH pada ketika itu, Ismee Ismail.
Kini, Asyraf Wajdi berhelah mengatakan, sebagai timbalan menteri pada waktu itu, beliau tidak mempunyai kuasa eksekutif, suara, mahupun penglibatan dalam urusan pelaburan dan operasi TH.
Semalam, 23 Ogos Ogos, timbalan perdana menteri merangkap presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi pula dilaporkan mahu supaya audit forensik ke atas Felda bagi memastikan sama ada berlaku salah guna kuasa, pecah amanah atau pengabaian urus tadbir.
Ini semua adalah percubaan mengabui mata rakyat jelata dan melepaskan diri daripada bertanggungjawab terdapat apa yang berlaku kepada Felda.

Bukan sekadar bezah siasat audit saja, malah keseluruhan skandal Felda telah dilaporkan dalam Kertas Putih yang dikeluarkan dan dibentang di Parlimen oleh kerajaan Pakatan Harapan pada bulan April 2019.
Ahmad Zahid dan banyak lagi pemimpin Umno serta kerajaan Madani yang ada hari ini, secara langsung dan tidak langsung terlibat dengan skandal Felda atau, setidak-tidaknya pun, tahu mengenai manipulasi korporat terhadap Felda.
Ahmad Zahid sendiri adalah menteri dalam negeri dan selepas itu timbalan perdana menteri dalam tempoh manipulasi ke atas harta dan pelaburan Felda dilakukan.
Seperti yang saya jelaskan boleh kata semua Pengerusi Felda adalah pemimpin kanan Umno.
Atas dasar inilah saya kata, pengukuhan pentadbiran negara dan pemulihan pengurusan syarikat awam tidak akan berjaya kalau tikus-tikus yang merosakkan labu terus diberi mandat untuk memperbaikinya.
A KADIR JASIN bekas ketua pengarang kumpulan NSTP (M) Bhd dan pernah menjadi penasihat media kepada perdana menteri.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





