29.2 C
Kuala Lumpur
Tuesday, August 25, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Memahami adat: Bukan sekadar soal periuk dan kuali

    Shopee Sale

    Tulisan bertajuk “Negeri Sembilan: Apabila periuk mengata kuali hitam” oleh Anak Negeri, yang diterbitkan dalam ruangan pandangan Free Malaysia Today pada 19 Ogos 2026, membangkitkan persoalan penting tentang kestabilan politik, kebajikan rakyat dan kedudukan institusi adat di Negeri Sembilan.

    Kegusaran terhadap tekanan kos sara hidup yang ditanggung golongan B40 dan M40 sememangnya wajar diberikan perhatian. Begitu juga tuntutan supaya semua institusi yang menerima peruntukan atau kemudahan awam bertindak secara telus dan bertanggungjawab.

    Namun, kebimbangan sosioekonomi tidak seharusnya membawa kepada penyederhanaan berlebihan terhadap kedudukan Adat Perpatih dan struktur perlembagaan Negeri Sembilan.

    Kritik yang sah terhadap tindakan seseorang pemegang jawatan perlu dibezakan daripada penolakan terhadap keseluruhan institusi yang didukung oleh sejarah, adat dan undang-undang bertulis.

    Kritikan institusi atau pembentukan kambing hitam?

    Salah satu persoalan utama dalam artikel berkenaan ialah cara kesusahan ekonomi rakyat dibandingkan dengan elaun serta kemudahan rasmi institusi adat. Perbandingan tersebut mungkin mempunyai daya tarikan populis, tetapi tidak dengan sendirinya membuktikan hubungan sebab dan akibat antara kedua-duanya.

    Kemiskinan, ketidaksamaan pendapatan dan peningkatan kos sara hidup merupakan persoalan dasar yang kompleks. Hal-hal tersebut berkaitan dengan keutamaan fiskal, pasaran pekerjaan, perumahan, perlindungan sosial serta kecekapan pentadbiran kerajaan Persekutuan dan negeri. Hal ini tidak bermakna elaun atau perbelanjaan institusi awam tidak boleh dipersoalkan.

    Sebaliknya, setiap perbelanjaan yang melibatkan wang awam perlu mempunyai asas undang- undang, tujuan yang jelas dan justifikasi yang munasabah. Namun, perbahasan itu hendaklah dilakukan berdasarkan fakta dan prinsip akauntabiliti—bukan dengan membina tanggapan bahawa kewujudan institusi adat itu sendiri merupakan punca kesempitan hidup rakyat.

    Jika hanya dua pilihan dikemukakan—sama ada membela rakyat atau mempertahankan institusi adat—maka kita sedang berhadapan dengan suatu dikotomi palsu. Penulis Anak Negeri hanya melihat satu naratif yang bukan sahaja berkecamuk tetapi berbahaya kepada kestabilan adat dan institusi negeri yang dibina beratus-ratus tahun lamanya. Kedua-duanya boleh, malah mesti, dilaksanakan serentak.

    Susur galur bukan pengganti kepada hujah

    Mengungkit latar migrasi atau susur galur seseorang tokoh adat juga tidak menjawab persoalan substantif tentang bidang kuasa, tatacara pelantikan ataupun tanggungjawab institusi.

    Keabsahan sesuatu jawatan adat tidak boleh ditentukan semata-mata melalui retorik tentang siapa yang dianggap “lebih asli”. Ia perlu dinilai berdasarkan adat yang terpakai, proses pengiktirafan yang sah serta kerangka perlembagaan negeri.

    Adat Perpatih sendiri bukanlah sistem yang dibina atas konsep ketulenan darah secara mutlak. Sepanjang perkembangannya, adat ini memiliki kaedah penerimaan dan penyesuaian sosial yang membolehkan seseorang atau sesuatu kelompok diintegrasikan ke dalam struktur suku dan masyarakat. Tradisi seperti berkadim, mengikat tali dan bentuk penerimaan adat yang lain memperlihatkan sifat adat yang anjal serta berkeupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan masyarakat.

    Oleh itu, menggunakan asal-usul keluarga untuk menafikan kedudukan seseorang tanpa terlebih dahulu membuktikan kecacatan proses adat atau perundangannya lebih menyerupai serangan terhadap peribadi daripada penghujahan institusi.

    Demokrasi tidak terbatas kepada pengundian majoriti

    Dakwaan bahawa institusi adat tidak demokratik kerana hanya melibatkan sebahagian kecil penduduk pula bertolak daripada takrif demokrasi yang terlalu sempit.

    Adat Perpatih tidak beroperasi sebagai demokrasi elektoral moden. Sumber legitimasinya berasaskan perwakilan berlapis dan permuafakatan: Anak buah → Buapak → Lembaga → Undang atau Penghulu → Yang di-Pertuan Besar

    Struktur ini tidak boleh disamakan begitu sahaja dengan prinsip “satu orang, satu undi”. Namun, perbezaan tersebut juga tidak semestinya menjadikannya antidemokratik. Demokrasi mempunyai pelbagai dimensi, termasuk penyertaan, perwakilan, rundingan, pertanggungjawaban dan pembatasan kuasa.

    Falsafah “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat” menggambarkan bahawa autoriti dalam Adat Perpatih tidak seharusnya mengalir secara mutlak dari atas ke bawah. Sebaliknya, ia dibentuk melalui hubungan timbal balik antara anak buah, pemimpin suku dan ketua wilayah adat.

    Pada masa yang sama, warisan musyawarah ini tidak boleh sekadar diraikan secara simbolik. Jika institusi adat mahu terus dihormati, proses pengundian, perundingan dan penyelesaian pertikaiannya juga perlu memperlihatkan keterangkuman, ketelusan dan kesetiaan kepada prinsip muafakat yang menjadi asas legitimasinya.

    Keunikan struktur perlembagaan Negeri Sembilan

    Negeri Sembilan tidak mempunyai struktur monarki yang serupa sepenuhnya dengan negeri- negeri Melayu yang lain. Sistemnya berkembang daripada susunan luak dan institusi kepimpinan adat yang tersendiri.

    Di bawah Perkara 7 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, Yang di-Pertuan Besar dipilih oleh Undang bagi Sungai Ujong, Jelebu, Johol dan Rembau mengikut cara yang diperuntukkan oleh Perlembagaan negeri dan selaras dengan adat negeri.

    Perkara 14 pula mengiktiraf bahawa Undang bagi keempat-empat luak tersebut dipilih secara sah mengikut adat luak masing-masing. Ini menunjukkan bahawa kedudukan mereka bukan sekadar gelaran kebudayaan atau tinggalan istiadat, tetapi sebahagian daripada susunan undang-undang negeri.

    MENARIK:  Aidiladha: Lebih 3 juta kenderaan dijangka banjiri lebuh raya KLK, LPT1

    Tunku Besar Tampin turut diiktiraf dalam struktur Ruling Chiefs atau Pembesar Memerintah di bawah Perlembagaan negeri. Perkara 28, khususnya bagi Bahagian Kedua Perlembagaan negeri, memberikan pengertian khas kepada istilah “Raja”, yang melibatkan Yang di-Pertuan Besar bersama Pembesar-Pembesar Memerintah yang merangkumi Undang Yang empat dan Tunku Besar Tampin.

    Di peringkat Persekutuan, Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak Yang di-Pertuan Besar dan Pembesar-Pembesar Memerintah untuk mewarisi, memegang, menikmati dan menjalankan hak serta keistimewaan perlembagaan masing-masing. Perkara 160 pula mengiktiraf keunikan pengertian “Raja” dalam konteks Negeri Sembilan, manakala Perkara 181 memelihara kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja serta prerogatif Pembesar Memerintah di wilayah masing-masing, tertakluk kepada Perlembagaan.

    Oleh itu, menggambarkan Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin sebagai suatu “lingkaran elit” tanpa meneliti kedudukan perlembagaan mereka adalah tidak memadai.

    Seseorang boleh mengkritik cara sesuatu kuasa dilaksanakan, tetapi kewujudan kuasa itu tidak boleh dinafikan hanya kerana strukturnya berbeza daripada demokrasi elektoral moden.

    Dewan Keadilan dan Undang sebagai ruang penyelesaian

    Perlembagaan negeri turut menubuhkan Dewan Keadilan dan Undang sebagai institusi yang menasihati dalam perkara berkaitan adat Melayu, termasuk persoalan pengundian, pewarisan, pengosongan atau pelucutan jawatan Pembesar Memerintah.

    Kewujudan Dewan ini mencerminkan satu prinsip penting: pertikaian adat dan perlembagaan tidak seharusnya diselesaikan melalui pengisytiharan sepihak, kempen persepsi atau pertarungan politik partisan. Ia perlu ditangani melalui institusi yang sah, proses yang adil dan tafsiran perlembagaan yang bertanggungjawab.

    Namun, penghormatan kepada Dewan Keadilan dan Undang juga tidak bermaksud institusi tersebut kebal daripada penelitian. Autoritinya akan lebih kukuh apabila keputusannya berasaskan tatacara yang jelas, alasan yang dapat dipertahankan serta prinsip keadilan institusi.

    Ketaatan bukan penyerahan kuasa tanpa batas

    Adat Perpatih dan Raja Berperlembagaan tidak memberikan kekuasaan mutlak kepada mana-mana individu. Kedaulatan undang-undang menuntut supaya setiap pemegang jawatan-sama ada Yang di-Pertuan Besar, Undang, Tunku Besar Tampin, Menteri Besar atau anggota pentadbiran negeri- bertindak dalam lingkungan kuasa yang ditetapkan.

    Dalam kerangka Raja Berperlembagaan, kesetiaan kepada institusi tidak boleh dipisahkan daripada kewajipan institusi untuk bertindak adil, berkecuali dan menurut undang-undang.

    Kedudukan yang tinggi tidak menghapuskan pertanggungjawaban; sebaliknya, semakin besar kuasa dan martabat sesuatu jawatan, semakin berat kewajipannya untuk memelihara keadilan.

    Atas sebab itu, pembelaan terhadap Adat Perpatih tidak seharusnya berubah menjadi pembelaan tanpa syarat terhadap setiap tindakan pemegang jawatan. Memelihara institusi turut bererti membetulkan penyalahgunaannya, memperjelas sempadan kuasa dan memastikan proses adat tidak dimanipulasi untuk kepentingan peribadi atau politik.

    Bezakan kelemahan individu daripada keutuhan sistem

    Sekiranya berlaku pertikaian tafsiran, perselisihan kepimpinan atau kegagalan seseorang pemegang gelaran, keadaan tersebut perlu ditangani berdasarkan fakta dan proses undang- undang. Kesalahan individu tidak secara automatik membuktikan bahawa keseluruhan sistem adat telah kehilangan kegunaannya.

    Pendekatan yang lebih matang ialah memperkukuh institusi penyelesaian pertikaian, menjelaskan bidang kuasa setiap pihak dan memastikan semua tindakan tertakluk kepada semakan yang sewajarnya. Reformasi juga tidak semestinya bermaksud pembongkaran. Adat yang hidup ialah adat yang mampu menilai kelemahannya sendiri, menyesuaikan kaedahnya dan terus mempertahankan prinsip asasnya.

    Pada masa yang sama, institusi adat harus bersedia menjawab persoalan masyarakat kontemporari tentang keterwakilan, ketelusan dan penggunaan sumber awam. Penghormatan yang berkekalan tidak boleh dituntut melalui sejarah semata-mata; ia perlu dipelihara melalui integriti dan tindakan yang meyakinkan.

    Adat dan kebajikan rakyat

    Perdebatan tentang masa depan Negeri Sembilan tidak seharusnya terperanangkap antara romantisisme adat dengan populisme anti-institusi. Kedua-dua kecenderungan itu gagal menangkap kerumitan sebenar susunan perlembagaan negeri.

    Membela rakyat B40 dan M40 tidak memerlukan kita membongkar warisan perlembagaan secara terpilih. Begitu juga, mempertahankan Adat Perpatih tidak boleh dijadikan alasan untuk mengelakkan tuntutan akauntabiliti.

    Negeri Sembilan memerlukan kedua-duanya: pentadbiran moden yang cekap dan adil, serta institusi adat yang hidup menurut semangat musyawarah dan kedaulatan undang-undang.

    Adat Perpatih bukan sekadar khazanah sejarah untuk dipamerkan dalam upacara. Ia merupakan sebahagian daripada susunan perlembagaan negeri. Namun, kekuatannya tidak hanya bergantung pada apa yang diwarisi, tetapi pada sejauh mana nilai muafakat, keadilan dan pembatasan kuasa benar-benar diamalkan.

    Di situlah terletaknya jalan tengah yang lebih bermaruah: bukan menolak adat atas nama kemajuan, dan bukan pula menutup ruang kritikan atas nama tradisi, tetapi memastikan kedua- dua adat dan pemerintahan moden terus berkhidmat kepada keadilan serta kesejahteraan rakyat.


    IKMAL HISHAM MD TAH Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan dan Undang-Undang Pentadbiran di Universiti Teknologi Mara manakala MOHD KHAIRIL HISHAM MOHD ASHAARI kurator di Galeri Tuanku Jaafar Negeri Sembilan dan penulis buku ‘The Legacy ofYamtuan Antah: Unity and Leadership’.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah