Seorang pemimpin Amanah Johor menggesa pengundi di negeri itu supaya “menghukum” Umno dan BN sekiranya pilihan raya negeri (PRN) diadakan pada masa terdekat, sebagai mesej jelas terhadap kegagalan mereka dalam mentadbir dan memahami keperluan rakyat.
Naib Pengerusi Amanah Johor, Zuhan Mohd Zain (gambar bawah) mendakwa antara faktor yang menyokong gesaan itu termasuk kurangnya keprihatinan Umno terhadap masalah ekonomi rakyat yang semakin meruncing, selain krisis politik di Negeri Sembilan.
"Amanah Johor turut melihat kerakusan politik Umno yang sanggup menggugat kestabilan kerajaan negeri yang disertai mereka, termasuk perkembangan yang berlaku di negeri lain, sebagai bukti bahawa kepentingan kuasa mengatasi kepentingan rakyat.
"Tindakan ini jelas menunjukkan bahawa Umno tidak mencerminkan sikap rakan gabungan yang setia dan bertanggungjawab, sebaliknya lebih cenderung kepada percaturan politik sempit yang akhirnya merugikan kestabilan negara," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Semalam, Umno Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap menteri besar negeri itu, Aminuddin Harun, yang juga ahli parlimen Port Dickson dan Adun Sikamat dari PKR.
Pengerusinya, Jalaluddin Alias berkata keputusan itu dibuat sebulat suara oleh kesemua 14 Adun Umno susulan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Aminuddin.
Kesemua 14 Adun Umno itu juga menyambut baik pengumuman lima Adun PN yang menyatakan kesediaan bekerjasama dengan BN, sekali gus membentuk majoriti mudah dalam Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut, Zuhan berkata rakyat Johor berhak memilih kepimpinan yang stabil, berintegriti dan benar-benar memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat, bukan "menjadikan politik sebagai gelanggang perebutan kuasa tanpa arah."

"Dalam menghadapi PRN akan datang, Amanah Johor bersama Pakatan Harapan komited untuk menawarkan alternatif kepimpinan yang lebih bersih, inklusif dan berpaksikan rakyat, selari dengan aspirasi Malaysia yang lebih adil dan progresif.
"Amanah Johor yakin bahawa rakyat kini semakin bijak menilai, dan tidak akan lagi terperanangkap dengan retorik politik semata-mata. Mandat rakyat perlu digunakan sebagai suara untuk menolak politik tidak stabil dan tidak bertanggungjawab," katanya lagi.
Tempoh pentadbiran kerajaan Johor di bawah teraju Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi hanya akan berakhir pada April 2027.
Sebelum ini, Amanah Johor - yang hanya ada satu kerusi di dalam DUN dengan 56 anggota keseluruhan — beberapa kali menyatakan kesediaan untuk bertanding di 40 kerusi yang kini dipegang BN.
Sebelum ini, Pengerusi PKR Johor, Dr Zaliha Mustafa, turut dilaporkan menafikan parti itu akan bertanding secara solo pada pilihan raya Johor akan datang.





