Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebahagiannya membenarkan rayuan tujuh pemain warisan Harimau Malaya terhadap Persatuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) berhubung hukuman kerana memalsukan dokumen naturalisasi dan kelayakan.
Dalam keputusan operasi (tanpa alasan terperinci) yang dikeluarkan hari ini, panel CAS memutuskan bahawa tujuh pemain terbabit tetap dikenakan penggantungan selama 12 bulan, namun ia hanya terpakai untuk perlawanan rasmi, dan bukan semua aktiviti berkaitan bola sepak.
“Setelah meneliti bukti yang dikemukakan, panel CAS mendapati kesalahan memalsukan dokumen kelayakan telah terbukti dan penggantungan selama 12 bulan daripada perlawanan adalah hukuman yang wajar dan sepadan bagi para pemain memandangkan mereka terlibat secara bersama dalam penipuan ini,” menurut kenyataan itu.
Tujuh pemain terbabit ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Bagaimanapun, selaras dengan Artikel 22 Kod Disiplin Fifa, panel memutuskan bahawa penggantungan hanya terpakai untuk perlawanan serta semua aktiviti berkaitan bola sepak.
Sehubungan itu, pemain dibenarkan menyambung latihan bersama kelab masing-masing sepanjang tempoh penggantungan.
“Larangan untuk bermain perlawanan bermula hari ini, 5 Mac 2026, dengan mengambil kira tempoh dari 25 Sept 2025 hingga 26 Jan 2026 apabila penggantungan ini telah dilaksanakan secara berkesan,” katanya.
Sementara itu, panel CAS berpendapat denda sebanyak CHF 350,000 (kira-kira RM1.8 juta) ke atas FAM oleh Fifa berhubung kes berkenaan adalah wajar, setimpal, dan kekal berkuat kuasa.
Panel CAS turut memaklumkan FAM dan pemain berkenaan telah mengemukakan rayuan bersepadu kepada mereka pada 5 Dis tahun lalu.





