Di sebalik kesibukan membina kerjaya dalam industri hiburan, tidak semua keputusan mudah dibuat apabila seseorang sudah memikul tanggungjawab sebagai ibu.
Bagi sesetengah wanita, peluang kerja yang hadir mungkin menjadi sesuatu yang dinanti-nantikan, namun dalam masa sama timbul rasa serba salah apabila perlu meninggalkan anak-anak yang masih kecil.
Situasi itu turut dirasai pelakon dan pengacara, Ain Edruce, yang mengakui fasa menjadi ibu banyak mengubah cara dirinya melihat soal kerjaya dan pengorbanan.
Artikel Berkaitan: #BabyXTRA: Bukan Mudah Jadi Ibu, Ain Edruce Dedah Keletihan Menyusu & Realiti Mendidik Anak-Anak
Artikel Berkaitan: Ain Edruce Kongsi Cabaran ‘Putus Susu’ Anak – ‘Dalam Shower, Atas Katil Aku Menangis’
Pengorbanan Terbesar Menjaga Anak-Anak
POV XTRA membawakan pandangan selebriti mengenai pelbagai isu, daripada topik yang hangat diperdebatkan hinggalah persoalan harian yang sering bermain dalam fikiran ramai. Tiada jawapan mutlak, tetapi setiap perspektif membuka ruang untuk sesuatu perkara dilihat dari sudut berbeza.
Menerusi segmen POV XTRA minggu ini, Ain berkongsi pengorbanan terbesar yang dilakukannya ketika ini adalah memberi keutamaan kepada anak-anak, meskipun dalam hati masih mempunyai keinginan untuk terus aktif bekerja.
Pengorbanan terbesar saya adalah menjaga anak-anak saya. Walaupun kadang-kadang rasa diri ini nak kerja, tapi dalam masa sama saya ada dilema untuk bekerja, dilema meninggalkan anak.
Memang saya ada pembantu, tapi nak tak nak itu bukan anak pembantu, itu anak kandung sendiri.
Hati Berbelah Bahagi Setiap Kali Terima Tawaran
Ain mengakui setiap tawaran kerja yang datang sering membuatkan dirinya berada dalam keadaan serba salah, terutama apabila memikirkan anak-anak yang masih kecil memerlukan perhatian seorang ibu.
Setiap kali saya dapat satu tawaran, saya nak sangat terima tapi hati berbelah bahagi. Macam mana kalau saya pergi kerja tapi anak kena tinggal.
Padahal mereka perlukan seorang ibu untuk menjaga mereka. Jadi perasaan dilema itu sangat besar dalam hidup saya.
Bagi Ain, situasi tersebut mungkin lebih dirasai ketika ini kerana anak-anaknya masih berada pada usia yang memerlukan perhatian dan kehadirannya.
Mungkin sebab anak-anak saya kecil lagi. Jadi saya rasa itu adalah pengorbanan saya.
Banyak Tawaran Terpaksa Dilepaskan
Dalam usaha mencari keseimbangan antara kehidupan sebagai ibu dan kerjaya seni, Ain tidak menafikan bahawa terdapat banyak peluang pekerjaan yang terpaksa dilepaskannya.
Banyak saya tolak tawaran kerja sebab memikirkan anak-anak.
Biarpun keputusan itu bukan sesuatu yang mudah, buat masa ini Ain memilih untuk mengutamakan fasa membesarkan anak-anak, meskipun ia bermakna perlu memperlahankan sedikit perjalanan kerjayanya.
The post POV XTRA: Ain Edruce Akui Hati Berbelah Bahagi, Banyak Korbankan Kerjaya Demi Anak-Anak first appeared on OHBULAN!.





