32.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, August 26, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Jerebu: Lokasi, skala sambutan Hari Kebangsaan 2026 mungkin bertukar

    Shopee Sale

    Ketua Setiausaha Negara (KSN) Shamsul Azri Abu Bakar akan membuat pengumuman pada petang ini, sekiranya terdapat sebarang perubahan skala atau lokasi sambutan Hari Kebangsaan 2026, susulan situasi jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini.

    Jurucakap Kerajaan Madani Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi berkata Shamsul Azri akan mengadakan perbincangan bersama kementerian dan agensi berkaitan bagi menilai keadaan cuaca serta jerebu berdasarkan unjuran untuk tempoh lima hingga enam hari akan datang.

    "Jemaah Menteri mengambil maklum daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai keadaan jerebu yang sedang melanda negara, termasuk di Putrajaya dan Kuala Lumpur selain di Sarawak yang banyak terkesan.

    "Maka, Jemaah Menteri memutuskan bahawa KSN (Shamsul Azri) ditugaskan untuk mengadakan perbincangan dengan semua jabatan yang berwajib dan Kementerian Komunikasi selaku kementerian yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan sambutan Hari Kebangsaan, sama ada untuk mengubah skala, lokasi ataupun untuk meneruskan di lokasi yang sama, iaitu di Dataran Putrajaya," katanya pada sidang media mingguan pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.

    Fahmi berkata antara pilihan yang akan dipertimbangkan ialah mengubah skala sambutan atau lokasinya, namun kerajaan tidak bercadang membatalkan sambutan Hari Kebangsaan yang dijadual berlangsung pada 31 Ogos ini.

    MENARIK:  Ringgit naik kepada RM4.39 banding dolar AS

    Beliau berkata lokasi asal sambutan ialah di Dataran Putrajaya, manakala cadangan untuk mengadakan sambutan di lokasi tertutup turut akan diteliti.

    “Itu (lokasi tertutup) satu daripada cadangan, tapi kita akan teliti kesesuaian lokasi dan juga pertimbangan-pertimbangan lain. Jadi kita tunggu kenyataan daripada KSN," katanya.

    Fahmi berkata keputusan itu turut mengambil kira pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM), kerana sambutan turut membabitkan kira-kira 1,500 peserta formasi human graphic terdiri daripada pelajar sekolah menengah daripada tiga negeri.

    "Jadi akan diputuskan insya-Allah pada hari ini," katanya.

    Beliau berkata kerajaan juga belum menetapkan sebarang ambang bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) bagi menentukan perubahan sambutan, sebaliknya perkara itu akan diputuskan selepas penilaian kementerian dan agensi berkaitan.

    Selain sambutan Hari Kebangsaan, program Ambang Hari Kebangsaan yang dijadual berlangsung pada 30 Ogos di Dataran Merdeka turut akan diteliti susulan situasi jerebu ketika ini, yang dilapor merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat di 17 kawasan di enam negeri, iaitu Sarawak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Melaka, Perak serta Kuala Lumpur dan Putrajaya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah