Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memilih untuk terus menyertai Anugerah Industri Muzik (AIM) sebagai tanda penghargaan terhadap karya dan usaha penggiat muzik tanah air.
Artikel Berkaitan: Mimifly, Siti Nurhaliza Dominasi AIM25 – Ini Senarai Penuh Pemenang
Kemenangan Siti

Menurut Siti, 47, keputusan itu dibuat kerana AIM bukan sekadar medan persaingan, sebaliknya menjadi platform untuk meraikan bakat serta karya dalam industri muzik.
Mungkin untuk anugerah lain, saya bersedia untuk tarik diri. Saya pernah buat begitu pada Anugerah Juara Lagu (AJL) dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).
Tetapi, anugerah AIM saya tidak boleh nak pentingkan diri sendiri sebab ada orang lain yang perlu saya hargai.
Ini adalah pentas terbaik untuk mereka, jadi tiada alasan untuk saya tarik diri.
Siti berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sidang media AIM25 yang berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak pada malam Sabtu.
Siti Nurhaliza mahu terus eksplorasi muzik

Dalam pada itu, pemilik nama Siti Nurhaliza Tarudin berkata penglibatannya di pentas AIM turut mendorong dirinya untuk terus berani mencuba formula baharu dalam penghasilan album.
Katanya, seseorang pengkarya perlu sentiasa meneroka ruang muzik yang lebih luas dan mengikuti perkembangan semasa tanpa mengetepikan identiti sendiri.
Bagi saya pentas AIM ini, bila buat album kena cari formula baharu dan kena teroka.
Menurut Siti, kerjasama bersama bakat muda bukan sahaja memberikan warna berbeza dalam penghasilan album, malah membuka peluang kepada generasi baharu untuk menonjolkan karya mereka di pentas berprestij.
Sebenarnya, kolaborasi itu memberi saya banyak ilmu dan variasi kepada setiap album saya. Kalau tidak, kita tidak akan dapat melihat pencipta muda naik ke pentas seperti yang kita saksikan tadi
Untuk rekod, Siti mencipta kejayaan membanggakan pada AIM25 apabila membawa pulang empat trofi menerusi kategori Vokal Wanita Terbaik bagi lagu Kesuma, Kolaborasi Terbaik Oleh Artis Tempatan Dan Artis/Penggubah Antarabangsa menerusi Cenderamaya, Lagu Tradisional Terbaik dan Lagu Terbaik menerusi Pesanan Buat Diri.
Kejayaan tersebut sekali gus menambah koleksi pencapaian Siti dalam industri muzik tanah air, selain memperlihatkan kesinambungan usahanya dalam menghasilkan karya merentas genre dan generasi.
The post [VIDEO] Siti Nurhaliza Kekal Berentap Di AIM, Mahu Hargai Karya Penggiat Muzik Lain – ‘Tiada Alasan Untuk Tarik Diri’ first appeared on OHBULAN!.





