Pelakon Syazani Zikry, dengan sekali lafaz sah bergelar suami kepada wanita pilihannya, Sofiah Abu Bakar pada pagi ini.
Artikel Berkaitan: Syazani Zikry Terkejut Lihat Transformasi Jayakan Watak ‘Kak Has’, Babak Urus Jenazah Buat Seram Sejuk
Bergelar suami

Dalam majlis penuh indah itu, pengantin perempuan menerima mas kahwin berupa seutas gelang emas dan wang hantaran sebanyak RM20,000.
Pasangan mempelai tersebut dinikahkan oleh jurunikah, Ustaz Idrus dengan Sofiah diwalikan bapanya, Abu Bakar Ismail dalam majlis ijabkabul yang berlangsung di The Square, A-Park, Puchong, Selangor.
Mereka juga turut bertukar hantaran, iaitu Syazani memberi lima dulang, manakala Sofiah pula membalas dengan tujuh dulang.
Syazani atau nama lengkapnya Syazani Zikry Zainul Hakim, 28, turut berkesempatan berkongsi detik awal perkenalan mereka.
Saya kenal dengan Sofiah melalui Amelia, ‘uni-mate’ saya. Mula-mula saya ternampak gambar Sofiah di Instagram Amelia dan terus minta Amelia tanyakan statusnya sebelum saya sendiri mendekati untuk berkenalan.
Rupanya mereka berdua adalah jiran.
Menurut Syazani, hubungan mereka mula terjalan semenjak Januari tahun lalu dan dia mengambil keputusan untuk mengahwini Sofiah kira-kira selepas 10 bulan mengenal hati budi.
Hasrat untuk saya berkahwin memang sudah ada, tetapi tidak sangka ia datang seawal ini.
Sewaktu mengenali Sofiah, saya terdetik hati untuk terus bertanya jika dia mahu berkahwin selepas 10 bulan berkenalan.
Dalam pada itu, Syazani berkata, Sofiah juga memahami komitmen dan kerjayanya sebagai seorang anak seni.
Alhamdulillah, Sofiah seorang yang sangat memahami kehendak kerja saya dan tidak pernah menghalang apa-apa.
Saya akan teruskan perjuangan karier seni saya seperti biasa dengan matlamat yang lebih besar. Perjalanan saya masih jauh.
Bercerita lanjut, Syazani dan Sofiah memaklumkan mereka merancang untuk berbulan madu pada penghujung tahun ini, namun belum menetapkan destinasi yang bakal dituju.
Bagaimanapun, pasangan itu akan ke Vietnam untuk percutian singkat selepas majlis pernikahan mereka.
The post Syazani Zikry Selamat Diijabkabulkan Dengan Wanita Pilihan Hati first appeared on OHBULAN!.





