25.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, September 26, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    “Bila Boleh Guna Subsidi?” Ini Cara Pindah Kelayakan BUDI Diesel Sebelum 27 Hari Bulan!

    Shopee Sale

    Kalau korang menggunakan kenderaan diesel yang didaftarkan atas nama orang lain, kini ada lebih banyak pilihan untuk mendapatkan akses kepada subsidi bersasar menerusi penambahbaikan proses pemindahan kelayakan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel).

    Mulai 16 September 2026, pemindahan kelayakan tidak lagi terhad kepada ahli keluarga terdekat.

    Sebaliknya, pemilik berdaftar boleh memindahkan kelayakan kepada mana-mana individu yang merupakan pengguna sebenar kenderaan tersebut.

    Namun sebelum buat permohonan, ada beberapa perkara penting yang korang perlu tahu, termasuk tarikh 27 hari bulan setiap bulan.

    1. Semak kelayakan pemilik dan penerima terlebih dahulu

    Untuk menerima pemindahan kelayakan, penerima mestilah warganegara Malaysia yang mempunyai MyKad sah, layak menerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan merupakan pengguna sebenar kenderaan berkenaan.

    Bagi pemilik yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan diesel, pemindahan boleh dibuat kepada sehingga tiga individu berdasarkan kenderaan yang digunakan oleh mereka.

    Pada masa sama, pemilik masih mengekalkan kelayakan bagi kenderaan yang digunakan sendiri.

    Jadi, sebelum buat permohonan, pastikan penerima yang dipilih memenuhi semua syarat ditetapkan.

    2. Ada pikap atau jip? Mohon tambahan 100 liter dahulu

    Bagi kenderaan diesel persendirian jenis pikap atau jip yang layak, pemilik berdaftar boleh memohon tambahan 100 liter sebulan, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

    Cuma, permohonan tambahan ini perlu dibuat sebelum pemindahan kelayakan dilaksanakan.

    Jadi, kalau memang layak untuk tambahan tersebut, pastikan permohonan dibuat terlebih dahulu sebelum meneruskan proses pemindahan.

    3. Pemilik berdaftar yang perlu buat permohonan

    Untuk proses pemindahan, pemilik berdaftar perlu mengemukakan permohonan dan bukannya penerima.

    Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui Portal BUDI MADANI di budimadani.gov.my atau secara fizikal di mana-mana pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

    Tak perlu risau tentang dokumen sokongan kerana permohonan ini tidak memerlukan dokumen tambahan. Maklumat pemilik, penerima dan kenderaan akan disemak silang dengan rekod agensi berkaitan sebelum kelulusan diberikan.

    MENARIK:  ‘Biarlah Saya Pejuang Bawah Khemah Pun, Usaha Selagi Mampu Bahagiakan Keluarga & Staf’ – Azza Elite

    Selain itu, kalau nak kelayakan digunakan mulai bulan berikutnya, pastikan permohonan dibuat pada atau sebelum 27 hari bulan semasa.

    Sebagai contoh, permohonan yang dibuat pada atau sebelum 27 September dan diluluskan selepas semakan boleh digunakan mulai 1 Oktober, tertakluk kepada semakan dan pengesahan data.

    Jadi, elok buat permohonan lebih awal dan jangan tunggu hingga saat akhir.

    4. Dah lulus? Penerima boleh terus guna MyKad

    Selepas permohonan diluluskan,  penerima boleh menggunakan MyKad masing-masing di stesen minyak untuk mendapatkan diesel bersubsidi berdasarkan kelayakan bulanan yang tersedia.

    Perlu diingat, pemindahan ini tidak memberikan liter tambahan kepada penerima. Kelayakan bulanan sebanyak 300 liter kekal sebagai satu kelayakan yang boleh digunakan untuk RON95 bersubsidi, diesel bersubsidi atau gabungan kedua-duanya.

    Pemindahan tersebut hanya membolehkan penerima menggunakan kelayakan berkenaan untuk pembelian diesel bersubsidi.

    Jangan tunggu saat akhir untuk buat permohonan 

    Bagi pengguna kenderaan diesel yang didaftarkan atas nama orang lain, pastikan semua maklumat penerima yang dimasukkan adalah tepat sebelum menghantar permohonan.

    Setiap kenderaan yang layak hanya boleh dipindahkan sekali dan pemindahan yang telah diluluskan tidak boleh dipindahkan semula kecuali dalam keadaan khusus yang ditetapkan.

    Jadi, kalau memang nak buat pemindahan kelayakan, jangan tunggu hingga saat akhir dan pastikan permohonan dibuat pada atau sebelum 27 hari bulan supaya tak terlepas kitaran kelayakan bulan berikutnya.

    Untuk membuat permohonan atau mendapatkan maklumat lanjut, layari Portal BUDI MADANI atau kunjungi mana-mana pejabat LHDNM.

    The post “Bila Boleh Guna Subsidi?” Ini Cara Pindah Kelayakan BUDI Diesel Sebelum 27 Hari Bulan! first appeared on OHBULAN!.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah