Kemenangan album [RE.HAB] milik Aisha Retno sebagai Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) bukan dibuat berdasarkan kekuatan lagu semata-mata.
Artikel Berkaitan: Mimifly, Siti Nurhaliza Dominasi AIM25 – Ini Senarai Penuh Pemenang
Penjelasan juri

Ketua Juri AIM25, Ajai berkata, kemenangan tersebut hadir selepas [RE.HAB] diteliti dari pelbagai sudut, bukan sekadar melihat kepada lagu yang dimuatkan dalam album berkenaan.
Katanya, aspek teknikal sepanjang proses menghasilkan sesebuah album turut menjadi pertimbangan juri termasuk cara karya itu dirakam, diproses dan dimuktamadkan sebelum penilaian akhir dilakukan.
Mengenai kemenangan album [RE.HAB], penilaian dibuat secara keseluruhan. Ia bukan hanya berdasarkan lagu semata-mata, sebaliknya melihat keseluruhan karya berkenaan.
Daripada proses rakaman, ‘mixing’, ‘mastering’ dan apa sahaja yang berkaitan dengan pencalonan, semuanya diambil kira sebelum penilaian dibuat terhadap sesebuah karya.
Ajai berkata demikian ketika ditemui pada sidang media AIM25 yang berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), selepas malam kemuncak acara itu pada Sabtu.
Setiap kategori dinilai secara terperinci

Mengulas keputusan keseluruhan AIM25, Ajai mengakui tugas sebagai barisan juri AIM25 bukan sesuatu yang mudah apabila setiap kategori menampilkan karya dengan kekuatan tersendiri.
Keputusan ini adalah daripada barisan juri yang kita lantik untuk AIM 25 dan saya rasa ia satu keputusan yang baik. Mutu yang bagus itulah yang perlu kita kedepankan.
Sebenarnya, semua kategori mencabar kerana proses penelitian terhadap setiap pencalonan dilakukan dengan sangat terperinci. Penilaian bukan sahaja melihat mutu vokal atau lagu, tetapi merangkumi pelbagai aspek.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM25, Rosmin Hashim berkata, keputusan pemarkahan setiap pencalonan kekal di bawah kendalian pihak auditor.
Jelasnya, pihak penganjur hanya dimaklumkan mengenai lima pencalonan terbaik, manakala jumlah markah penuh serta perbezaan mata antara calon tidak didedahkan bagi menjaga kerahsiaan proses penjurian.
Mengenai jumlah markah atau jarak antara pencalonan pula, perkara itu tidak dapat kita ketahui kerana pemarkahan dikira oleh pihak auditor.
Kita hanya mengetahui lima pencalonan terbaik dan perbezaan markah berkenaan kerana selebihnya adalah rahsia yang disimpan oleh auditor.
Rosmin turut mendedahkan Lagu Pop Terbaik antara kategori yang menyaksikan persaingan paling sengit, mengambil kira jumlah pencalonan yang tinggi sehingga saingan untuk mara ke kelompok lima terbaik juga cukup mencabar.
Untuk rekod, [RE.HAB] turut meraih Rakaman Album Terbaik, selain Aisha membawa pulang trofi Lagu Inggeris Tempatan Terbaik menerusi O.R.B.I.T.
The post [VIDEO] Ajai Dedah Sebab [RE.HAB] Aisha Retno Dinobat Album Terbaik AIM25 – ‘Penilaian Dibuat Secara Keseluruhan’ first appeared on OHBULAN!.





