Penyanyi terkenal, Dayang Nurfaizah masih belum mendapat keyakinan untuk mengadakan konsert mega solo dalam masa terdekat meskipun lebih dua dekad menyinari industri muzik tempatan.
Artikel Berkaitan: ‘Saya Tidak Sabar Menantikan Tarikh Istimewa Itu’ – Dayang Nurfaizah
Artikel Berkaitan: Hael Husaini & Dayang Nurfaizah Sudah Bertunang?
Kepuasan semua

Ketika ditemui , Dayang menekankan dia tidak akan mengadakan konsert sekadar ‘ada’.
Kata Dayang, 44, dia sangat menitikberatkan kepuasan hati peminat yang bakal melaburkan duit membeli tiket.
Saya tak nak buat konsert sekadar cukup syarat. Kalau saya buat, ia mesti tip top dan betul-betul beri kepuasan kepada semua yang datang.
Saya nak semua peminat boleh datang dan enjoy. Kalau tiket mahal sangat, nanti mereka rasa terbeban. Itu bukan apa yang saya nak.
Tambah pelantun Di Pintu Syurga, dia sudah mempunyai bayangan jelas tentang pentas, visual, susunan muzik dan konsep persembahan yang diimpikan.
Namun, dia sedar pelaksanaan itu memerlukan perancangan yang teliti serta kos yang tinggi.
Bukanlah nak lari sangat daripada kebiasaan, tapi saya banyak rujuk artis-artis antarabangsa.
Cuma cabarannya sekarang ialah nak cari team yang betul-betul faham vision saya. Sebab ia melibatkan kos, produksi dan kualiti bunyi.
Dayang berkata demikian ketika ditemui selepas showcase Janji With Dayang (Penang) di Top View @ The Top, Komtar, pada Sabtu.
Showcase di Pulau Pinang

Bercerita mengenai ‘Janji With Dayang’, Dayang berpuas hati dengan sambutan hangat showcase yang diadakan di tempat tidak berbumbung dan tingkat paling tinggi di lokasi ikonik Komtar.
Alhamdulillah cuaca elok, penonton pun happy. Ini pengalaman baru untuk saya. Mula-mula risau juga kalau hujan, tapi saya dah ready… Kalau renyai, saya teruskan. Kalau lebat sangat, kita berhenti sekejap.
Sepanjang showcase, Dayang menyanyikan kesemua lagu daripada album terbarunya Janji, termasuk Lemah, Mungkin Ke? dan Esok Lusa Selamanya, selain mengubat rindu peminat dengan lagu-lagu hit seperti Dayang Sayang Kamu dan Mana Mungkin.
Dianjurkan bersama Usanita Entertainment dan Mask Team, Janji With Dayang akan diteruskan di Kuala Lumpur pada 27 September 2025 bertempat di Tower Terrance, Kuala Lumpur Tower.
Tiket boleh didapati secara dalam talian di http://www.ticket2u.com.my.
The post [VIDEO] ‘Saya Tak Nak Buat Konsert Sekadar Cukup Syarat’ – Dayang Nurfaizah first appeared on OHBULAN!.





