Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) berkata bahawa tentera Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi melancarkan serangan bersama terhadap kumpulan yang bersekutu dengan Iran di Iraq, lapor Anadolu Ajansi.
“Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat dan Angkatan Tentera Arab Saudi melaksanakan serangan tepat di Iraq pada 28 Julai terhadap kumpulan yang bersekutu dengan Iran, yang diarahkan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) untuk menyerang tentera AS serta infrastruktur tenaga Arab Saudi,” menurut CENTCOM dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa pesawat pejuang AS dan Arab Saudi menyasarkan beberapa kemudahan logistik serta penyimpanan senjata di timur Iraq sebagai tindak balas terhadap lebih 30 serangan dron yang diarahkan IRGC Iran sepanjang 72 jam sebelumnya.
“Serangan terhadap tentera AS itu tidak berjaya,” menurut markas berkenaan.
CENTCOM mendakwa antara Februari dan April, kumpulan yang bersekutu dengan Iran di Iraq melakukan lebih 600 “cubaan serangan” terhadap rakyat serta kemudahan AS.
“IRGC dan kumpulan proksinya mesti menghentikan serangan ini bagi mengelakkan tindak balas ketenteraan lanjut daripada AS,” menurut kenyataan itu.
Iran tuntut kawalan penuh Selat Hormuz
Sementara itu, Anadolu Ajansi juga melaporkan Iran menetapkan bahawa satu laluan perkapalan di Selat Hormuz mesti berada di bawah kawalan Iran sepenuhnya, manakala sebahagian daripada satu lagi laluan turut dikawal Tehran sebagai syarat utama membuka semula selat strategik itu.
Timbalan Menteri Luar Iran Kazem Gharibabadi berkata Oman sebelum ini mencadangkan pembukaan laluan perkapalan sementara bagi menggantikan laluan utara dan selatan yang digunakan ketika ini.

Beliau menjelaskan cadangan Oman itu membabitkan kawalan sama rata, dengan 50 peratus di bawah Iran dan 50 peratus lagi di bawah Oman, namun formula berkenaan ditolak Tehran.
“Cadangan kami ialah satu laluan perkapalan merentasi selat itu mesti berada sepenuhnya di bawah kawalan Iran, manakala sebahagian daripada laluan lain turut berada di bawah kawalan Iran. Ini pendirian muktamad kami dan Iran tidak akan menerima sebarang formula lain,” kata Gharibabadi.
Beliau berkata jika Oman tidak menerima cadangan Iran, Selat Hormuz akan kekal ditutup sambil menegaskan Tehran turut bersedia menghadapi kemungkinan konflik tercetus semula.
Iran mendakwa Artikel 5 memorandum persefahaman dengan Amerika Syarikat (AS) bulan lepas memberikan kuasa tunggal kepada Tehran untuk menentukan aturan di Selat Hormuz.
Gharibabadi berhujah bahawa Artikel 5 memorandum itu hanya mewajibkan Iran menetapkan aturan bagi pelayaran komersial yang selamat dan bebas selama 60 hari, bukannya memindahkan kawalan ke atas laluan strategik berkenaan.
Beliau berkata peruntukan itu dengan jelas menyatakan bahawa Iran bertanggungjawab menentukan aturan pelayaran, operasi pembersihan periuk api dan langkah keselamatan di selat berkenaan.

Menurut Gharibabadi, AS melanggar memorandum itu dengan membuka laluan perkapalan alternatif di bahagian selatan melalui kerjasama Oman, dan bukannya mematuhi aturan yang ditetapkan Iran.
Beliau mendakwa tentera AS menggunakan dron dan ancaman untuk mengarahkan kapal komersial melalui laluan selatan, meskipun Iran berulang kali memberi amaran supaya kapal berkenaan kembali menggunakan laluan utara.
“Sekiranya kami berdiam diri ketika laluan utara dipintas, kedaulatan Iran ke atas Selat Hormuz akan sekadar menjadi ilusi,” kata beliau.
Gharibabadi berkata Iran “tidak akan mengiktiraf laluan selatan walaupun untuk tempoh sejam,” sambil mendakwa pusingan terbaharu konflik tercetus kerana kapal terus menggunakan laluan berkenaan.
Beliau berkata aturan di Selat Hormuz tidak akan sesekali kembali seperti sebelum peranang dan menyifatkannya sebagai “dasar muktamad negara.”

Gharibabadi juga berkata tanggungjawab bagi operasi pembersihan periuk api kekal di bawah Iran semata-mata, namun menegaskan bahawa pengurusan selat itu pada masa hadapan “telah berubah secara asas.”
Beliau menyifatkan laluan perairan itu sebagai ukuran utama kejayaan Iran dalam konflik baru-baru ini, sambil berkata pemulihan aturan sebelum peranang bermakna Tehran gagal mencapai sepenuhnya matlamatnya.
Tehran menolak sebarang penyertaan negara ketiga dalam operasi pembersihan periuk api, termasuk sekiranya dijemput Oman, kata beliau.
Menurut Gharibabadi, negara-negara Eropah berusaha membentuk gabungan 30 hingga 40 negara untuk menyertai operasi pembersihan periuk api, namun Iran memberi amaran bahawa mana-mana kapal tentera laut atau peralatan yang menghampiri selat itu atas alasan berkenaan akan dianggap sebagai sasaran ketenteraan yang sah.
Beliau berkata rundingan dengan Oman sedang berlangsung ketika Selat Hormuz kekal ditutup sepenuhnya, dan pembukaan semula hanya akan dilakukan selepas persetujuan dicapai.
Mengenai dasar nuklear Iran, Gharibabadi berkata Tehran ketika ini tidak lagi tertakluk kepada sebarang pemeriksaan, pengisytiharan atau kewajipan langkah perlindungan dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Beliau berkata Iran pada hakikatnya bertindak “seolah-olah bukan lagi anggota NPT” selepas menggantung semua kerjasama dengan badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.
Walaupun tidak mengumumkan penarikan diri daripada Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT), beliau berkata tindakan meninggalkan perjanjian itu “bukan lagi perkara tabu.”
Gharibabadi berhujah bahawa NPT membenarkan sesebuah negara menarik diri dengan notis 90 hari sekiranya kepentingan keselamatan negara terancam, sambil berkata serangan baru-baru ini terhadap kemudahan nuklear Iran “menjadikan penelitian semula pilihan itu sesuatu yang logik dan sah.”

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa penarikan diri secara rasmi daripada perjanjian itu memerlukan penelitian undang-undang, strategik dan politik yang teliti.
Gharibabadi berkata Iran tidak berhasrat mengadakan rundingan dengan AS, sambil menegaskan Washington tidak boleh dibiarkan bertukar-tukar antara tindakan ketenteraan dan diplomasi mengikut kepentingan sendiri.
“Buat masa ini, kami bergerak selangkah demi selangkah hanya menerusi Oman,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa Iran mengekalkan hubungan strategik dengan Rusia dan China, khususnya memuji perananan Beijing dalam perdagangan, kerjasama ekonomi serta usaha menangani sekatan.
Pada masa sama, beliau berkata Tehran tidak seharusnya mengharapkan Moscow dan Beijing menyelesaikan semua cabaran yang dihadapi Iran.





