Campur tangan politik dalam pengurusan Lembaga Tabung Haji, yang berlanjutan sehingga selepas perubahan kerajaan pada 2018, menjejaskan kredibiliti institusi tersebut dan mempengaruhi keputusan kewangan utama, menurut laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Laporan RCI mengenai Tabung Haji mendapati bahawa pelantikan ahli politik aktif ke jawatan kanan antara 2014 hingga 2018, mewujudkan keresahan orang ramai dan meningkatkan persepsi campur tangan politik.
Kata laporan itu, ia mendedahkan keputusan tabung haji kepada kritikan politik dan akhirnya merosakkan keyakinan orang ramai terhadap institusi tersebut.
Suruhanjaya itu mendapati bahawa pertimbangan politik mempengaruhi keputusan kewangan utama, termasuk kadar pengagihan keuntungan, atau hibah, pembayaran haji dan penyediaan Sokongan Kewangan Haji, yang dikenali sebagai Hafis.
Ia menegaskan bahawa keputusan ini sepatutnya berdasarkan pertimbangan ekonomi dan institusi.
Laporan itu mengenal pasti beberapa ahli politik aktif yang memegang jawatan kanan dalam lembaga Tabung Haji semasa tempoh yang menjadi penelitian.
Mereka termasuk Abdul Azeez Abdul Rahim, yang berkhidmat sebagai pengerusi Tabung Haji dan juga ahli parlimen serta ahli majlis tertinggi Umno.
Azeez memegang lapan jawatan serentak sebagai pengerusi atau pengarah dalam syarikat subsidiari, yang menurut suruhanjaya itu boleh mengalihkan perhatian pemegang jawatan daripada tanggungjawab utama mereka dan mewujudkan konflik kepentingan.
Beberapa pelaburan yang dibuat dalam tempoh tersebut dikenal pasti untuk siasatan lanjut, termasuk transaksi yang melibatkan PT TH Indo Plantations dan Trurich Resources.
RCI juga mengesyorkan audit forensik ke atas pelaburan bermasalah dan transaksi di mana maklumat mungkin telah disembunyikan atau di mana institusi itu mengalami kerugian besar.
Laporan polis terhadap Azeez
Pada 2018, Lembaga Tabung Haji telah membuat dua laporan polis terhadap Azeez, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Haji Ismee Ismail dan Johan Abdullah, serta ketua pegawai operasi Adi Azuan Abdul Ghani, ketua pegawai kewangan Rozaida Omar, penasihat undang-undang Hazlina Mohd Khalid, dan pengurus besar kanan untuk perkhidmatan korporat dan hartanah Rifina Md Ariff.
Lembaga Tabung Haji dilaporkan pada masa itu mengatakan bahawa salah satu laporan polis melibatkan dakwaan penyalahgunaan RM22 juta yang diperuntukkan untuk Yayasan Tabung Haji, yang dikatakan dialihkan untuk aktiviti politik.
Laporan polis kedua telah dibuat terhadap Ismee, Hazlina dan Rifina mengenai pelupusan 95 peratus kepentingan dalam PT TH Indo Plantations.
Pegangan tersebut pada mulanya dipegang oleh dua anak syarikat Tabung Haji - TH Indopalms Sdn Bhd dan TH Indo Industries Sdn Bhd.
RCI itu tidak membangkitkan laporan terhadap Azeez tetapi merujuk kepada empat laporan yang dibuat antara November 2018 dan Januari 2019 dan memberi cadangan bahawa pihak berkuasa berkaitan mesti mengambil tindakan tegas dan segera terhadap setiap laporan polis atau aduan mengenai sebarang salah laku.
Tokoh politik lain dalam lembaga itu termasuk bekas ahli parlimen dan pengerusi tetap Umno Badruddin Amiruldin, serta Rosni Sohar, yang pada masa itu, merupakan ahli dewan undangan negeri dan ahli majlis tertinggi Umno.
RCI itu berkata pelantikan sedemikian menjejaskan kebebasan institusi dan mengukuhkan persepsi bahawa faktor politik boleh mempengaruhi tadbir urus dan pembuatan keputusan.
Semakan Malaysiakini juga mendapati bahawa keterangan yang diberikan oleh beberapa saksi utama tidak dipetik atau diringkaskan.
Mereka yang memberi keterangan secara langsung termasuk Abdul Azeez, Ismee, Johan, Nik Mohd Hasyudeen, dan Amrin Awaluddin, bekas pengerusi Md Nor Md Yusof, bekas menteri Mujahid Yusof Rawa dan Jamil Khir Baharom, dan bekas ahli lembaga Zaiton Mohd Hassan.
Meskipun mereka memegang perananan utama semasa tempoh yang diteliti, laporan awam itu tidak menyatakan apa yang mereka beritahu kepada suruhanjaya berkenaan.
Nama Azeez sebaliknya muncul berhubung dengan surat amaran yang dihantar oleh Bank Negara Malaysia pada 21 Ogos dan 19 Disember 2014, dan 23 Disember 2015, yang ditujukan kepadanya atas kapasitinya sebagai pengerusi Tabung Haji.
Suruhanjaya itu juga mendapati kelemahan tadbir urus dan prosedur selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir pada Mei 2018.
Antara lain, RCI mendapati bahawa panel pelaburan sedia ada telah dibubarkan dan digantikan dengan "exco perniagaan" yang dipengerusikan oleh menteri hal ehwal ekonomi, yang pada masa itu, ialah Azmin Ali.
RCI mendapati bahawa pengaturan penggantian itu tidak berfungsi dengan berkesan dan tidak diperuntukkan di bawah Akta Tabung Haji 1995, meninggalkan jurang dalam pengawasan pelaburan profesional.
Pelan pemulihan membawa risiko masa depan
Suruhanjaya itu mengakui bahawa pelan pemulihan dan penstrukturan semula 2018, yang memindahkan aset yang berprestasi rendah kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd, adalah perlu untuk mengelakkan kemungkinan kerugian Tabung Haji.
Walau bagaimanapun, ia memberi amaran bahawa sebahagian daripada pemulihan bergantung pada pendapatan tertangguh yang tidak disokong oleh tunai segera.
Ini, katanya, boleh mendedahkan Tabung Haji kepada krisis kewangan lain sekiranya kerajaan gagal membuat peruntukan tunai tahunan yang dipersetujui yang diperlukan untuk menebus sukuk yang dikeluarkan di bawah penstrukturan semula.
Untuk menangani kegagalan tadbir urus, RCI mengesyorkan pindaan Akta Tabung Haji untuk melarang ahli politik aktif daripada dilantik sebagai pengerusi atau ahli lembaga Tabung Haji dan anak syarikatnya.
Ia juga menyeru agar institusi itu diketuai oleh profesional yang mempunyai kepakaran khusus dalam kewangan dan pelaburan.
Tegas laporan itu, pembaharuan yang dicadangkan adalah perlu untuk melindungi Tabung Haji daripada campur tangan politik dan memulihkan keyakinan terhadap pengurusannya.





