32 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 29, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Beban kos kesihatan, ekonomi akibat vape dianggar cecah RM369 juta – KKM

    Shopee Sale

    Beban kos kesihatan dan ekonomi akibat penyakit berkaitan penggunaan vape dianggarkan mencecah kira-kira RM369 juta setahun, jauh melebihi jumlah hasil duti eksais daripada produk vape yang dikutip kerajaan, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

    Bagaimanapun, kementerian itu memaklumkan kutipan hasil duti eksais daripada produk vape bukan justifikasi untuk membenarkan penjualannya di pasaran.

    "Bagi tempoh pelaksanaan duti eksais terhadap produk rokok elektronik atau vape, jumlah kutipan yang direkodkan adalah sebanyak RM80.32 juta pada 2023, meningkat kepada RM111.14 juta pada 2024 dan RM118.93 juta pada 2025.

    "Bagi tempoh 1 Jan hingga 11 Jun tahun ini, kutipan direkodkan bernilai RM44.11 juta, menjadikan jumlah keseluruhan kutipan duti eksais adalah sebanyak RM354.51 juta," menurut KKM dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Dewan Negara, hari ini.

    Kementerian itu menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew tentang cadangan pengharaman, jumlah kutipan hasil cukai dan justifikasi kebenaran penjualan vape berikutan risiko kesihatan yang tinggi.

    Selain itu, KKM sedang memperkukuh kawalan terhadap produk berisiko tinggi termasuk meneliti cadangan mengharamkan vape jenis berbotol susulan risiko tinggi dicampur dengan dadah dan bahan terlarang.

    MENARIK:  Tragedi ragut nyawa pelajar UPSI nahas terburuk dalam tempoh sedekad

    KKM memaklumkan sebarang keputusan rasmi termasuk cadangan pengharaman yang lebih menyeluruh akan terus dinilai berdasarkan bukti saintifik, data semasa, dan kepentingan kesihatan awam.

    Menurut kementerian itu, buat masa ini, kerajaan memberikan tumpuan penuh kepada pelaksanaan dan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] yang menyediakan kerangka kawal selia komprehensif terhadap semua produk merokok termasuk vape.

    Kementerian itu memaklumkan keutamaan diberikan terhadap penguatkuasaan Akta 852, khusus bagi melindungi orang belum dewasa (OBD), iaitu individu berumur di bawah 18 tahun.

    "Hal ini selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 13(1) yang melarang penjualan produk merokok kepada OBD, Seksyen 13(3) melarang pembelian oleh OBD, serta Seksyen 17 yang melarang penggunaan mana-mana produk merokok oleh golongan berkenaan," menurut kementerian itu.

    KKM memaklumkan pendekatan kawal selia yang tegas menerusi Akta 852 bertujuan mengurangkan akses serta penggunaan produk merokok bagi memastikan perlindungan kesihatan awam, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah