
Pengasas jenama fesyen terkenal, Bulan Bintang Azzim Zahid Azmi, tampil menjelaskan isu replika Baju Melayu gergasi yang menjadi bualan warganet sejak diletakkan di hadapan The Starhill bermula 12 hingga 23 Mac ini.
Banyak komen puji

Menurut Azzim atau lebih mesra disapa Meri, berkata, dia menerima majoriti mesej posititif orang ramai yang menghargai usaha untuk mengangkat budaya Melayu di lokasi tumpuan pelancong.
Berkenaan replika gergasi, saya dapat dua jenis maklum balas. Ada segelintir yang mengecam, namun majoritinya berbangga dan memberi respons baik. Mereka menghargai usaha untuk mempromosikan budaya tradisi Melayu dan Malaysia.
Tambah Meri, replika bersaiz gergasi sepanjang 12 kaki itu menjadi salah satu taktik mempromosikan Baju Melayu kepada warga tempatan dan pelancong luar negara.
Jika kita lihat jenama luar negara, mereka juga mempunyai replika gergasi produk mereka seperti beg tangan dan kasut. Kenapa jenama tempatan seperti kami tidak boleh buat perkara yang sama?
Azzim ditemui di majlis bertemu peminat sempena kempen ‘Bulan Bintang Sedekad Menyinar Takluk The Starhill’ di Bukit Bintang, pada malam Sabtu.
Selain Azzim, duta jenama terbabit seperti Shukri Yahaya, Nadhir Nassar, Mierul Aiman dan Syafiq Kyle turut turun padang beramah mesra bersama peminat.
Nak ‘mendonia’ baju melayu

Kata Meri lagi, dia lebih kepada mempromosikan Baju Melayu sebagai pakaian kebangsaan rakyat Malaysia berbanding jenamanya sendiri.
Dalam keterangan yang terpapar di hadapan replika itu pun, saya tidak terlalu mempromosikan jenama saya. Saya lebih menekankan Baju Melayu sebagai pakaian kebangsaan yang dipakai untuk menyambut perayaan.
Dalam pada itu, Meri akui bangga apabila melihat sendiri pelancong yang bersiar di sekitar itu tertarik untuk bergambar dengan replika tersebut.
Saya sendiri nampak orang bergambar dengan replika ini. Dari jauh saya rakam aksi mereka, dan saya berbangga apabila ramai yang menghargai budaya kita.
Sebelum ini, jenama fesyen terkenal, Bulan Bintang, mencetuskan perhatian apabila melancarkan kempen ‘Bulan Bintang Sedekad Menyinar Takluk The Starhill’ yang menampilkan ‘pop-up store’ serta pameran khas sempena ulang tahun ke-10 jenama itu.
Antara tarikan utama adalah replika Baju Melayu Bulan Bintang bersaiz gergasi sepanjang 12 kaki, yang diletakkan di hadapan The Starhill.
Namun, kehadiran replika ini mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen, dengan sesetengah pihak menyamakannya dengan patung berhala dan menganggap ia sebagai amalan karut.
Komen netizen

Sekadar info, kempen ‘Bulan Bintang Sedekad Menyinar Takluk The Starhill’ turut menampilkan koleksi istimewa Baju Melayu Bulan Bintang serta koleksi pakaian wanita di bawah label Bulan Bintang Sisters.





