
Pelakon Beego tiba di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada jam 11 pagi bagi proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) berhubung kes perceraian dengan isteri, aktres, Linda Hashim.
Nak cerai juga

Hadir mengenakan baju kemeja putih, Beego atau nama sebenar Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, berharap rumah tangganya masih boleh diselamatkan.
Harapan saya masih sama, kalau boleh masih mahu selamatkan rumah tangga kami.
Aktor berusia 44 tahun itu hadir bersama peguam, Muhammad Akmal Mazan dan ibunya, Rashidah Elias sebagai wakil JKP.
Sementara itu, Linda yang hadir selang 15 minit kemudian berkata, dia tetap dengan pendirian untuk dilepaskan.
Ya (nekad), sudah bertahun berbincang tapi tiada kesudahan. Jadi kali ini saya mengharapkan pengakhiran yang baik.
Tapi keputusan hari ini pun saya tidak tahu bagaimana, harap semua berjalan dengan lancar.
Dalam pada itu, Linda melantik bapa saudaranya, Johaini Ariff sebagai wakil JKP. Turut hadir bersama Linda, peguam Nurul Fadzilah Kamaluddin.
Ditanya apakah tindakan diambil jika Beego enggan melepaskan, Linda menjawab dia akan membuka satu fail ‘rahsia’ yang tidak didedahkan intipatinya.
Kalau dia tidak mahu lepaskan, saya ikut sahaja, tapi mungkin akan buka satu fail lain.
Terdahulu, Linda memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, awal Januari lalu atas alasan sudah tiada persefahaman.
Pada Mei 2023, Linda dan Beego hadir ke mahkamah sama bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak.
Hal itu berikutan mereka mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada 9 April 2023 selepas bercerai pada 27 Mac tahun sama.
Linda pernah mendedahkan, mereka pernah bercerai buat kali kedua hanya selepas beberapa bulan kembali rujuk pada April 2023.
Bagaimanapun, mereka tidak mendedahkan perkara itu kerana bimbang dianggap mempermainkan institusi perkahwinan.
Untuk rekod, Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada Jun 2013. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6.





