Pelakon, Amir Ahnaf mendedahkan keputusan melepaskan peluang membawakan watak Hang Tuah dalam pementasan teater Puteri Gunung Ledang (PGL) dibuat kerana merasakan dirinya masih belum cukup bersedia untuk menggalas karakter ikonik tersebut.
Artikel Berkaitan: PGL: ‘Karakter Itu Terlalu Besar, Saya Tak Mampu’ – Amir Ahnaf
Belum layak

Amir atau nama lengkap Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin, 26, berkata, dia bukan menolak peluang diberikan, sebaliknya mahu memberi ruang kepada dirinya untuk terus belajar dan memperbaiki kemampuan sebagai pelakon.
Saya dapat jemputan daripada Tiara Jacquelina dan ketika itu memang saya agak sibuk. Saya cakap pada Tiara, insya-Allah kalau ada rezeki mungkin saya akan buat pada masa akan datang.
Amir berkata demikian ketika ditemui pada malam gala filem The Furious: Pertaruhan Maruah di GSC Mid Valley, pada Selasa.
Tambah pelakon filem Kahar itu, jauh di sudut hatinya merasakan watak Hang Tuah belum sesuai untuk dirinya buat masa sekarang.
Saya sendiri pun rasa watak Hang Tuah itu sebenarnya belum sesuai untuk saya. Saya baru berusia 26 tahun dan rasanya masih banyak perkara yang perlu saya belajar.
Saya lahir daripada bidang teater dan daripada teater itulah yang buat saya jatuh cinta dengan seni berlakon. Saya sangat sukakan teater PGL sebab membesar dengan naskhah seperti itu.
Sejujurnya karakter macam itu memang saya impikan sejak kecil lagi, tapi mungkin belum sampai masanya.
Ditanya sama ada dia berasa terkilan kerana melepaskan peluang besar tersebut, Amir berkata dia percaya kepada aturan rezeki dan peluang yang akan datang pada waktu sesuai.
Tidak ralat. Saya rasa belum masanya lagi. Tapi secara peribadi saya rasa Aqasha adalah pelakon yang sangat bagus untuk watak itu. Bagi saya peluang dan kepercayaan juga akan sentiasa ada kalau kita mementingkan kualiti.
Pada masa sama, Amir turut menghargai sokongan peminat yang sebelum ini mencadangkan namanya sebagai antara pelakon yang layak membawakan watak Hang Tuah.
Saya anggap sokongan penonton itu sebagai satu simbol kejayaan buat diri saya. Insya-Allah mungkin bila umur saya 30 atau 35 tahun nanti akan ada peluang lagi.
Saya cuba sedaya upaya menjaga kualiti dalam setiap kerja dan naskhah yang saya ambil. Kalau hati saya sendiri rasa Hang Tuah itu belum milik saya, maknanya memang belum sampai masanya lagi.
The post Amir Ahnaf Tak Ralat Lepaskan ‘Hang Tuah’, Akui Diri Belum Layak – ‘Aqasha Bagus Untuk Watak Itu’ first appeared on OHBULAN!.





