Walaupun sudah hampir dua dekad menjejakkan kaki dalam industri muzik, penyanyi Irene Catalina percaya usia 47 tahun bukan alasan untuk dia memperlahankan langkah atau berundur daripada dunia seni.
Artikel Berkaitan: Siti Nurhaliza Umum Konsert Berskala Besar! Kembali Ke Stadium Nasional Bukit Jalil Selepas 21 Tahun
‘Usia bukan penghalang’

Irene berkata, dia melihat pertambahan usia sebagai kelebihan yang mematangkan gaya persembahan dan memberikan identiti tersendiri buatnya, terutama apabila memilih untuk tampil dengan muzik ‘pop dance’.
Saya sedar ramai melihat genre sebegini lebih sinonim dengan artis muda, tapi bagi saya, itu sebenarnya kekuatan saya.
Tidak ramai yang berumur macam saya membawa konsep lagu aktif dan bertenaga. Usia bukan penghalang, malah ia jadi ‘signature’ saya.
Irene berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran lagu terbaharunya berjudul ‘Mau Apa Lagi?’ yang diadakan di sekitar ibu kota, baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Irene memberitahu tempoh dirinya jarang muncul di khalayak bukan disebabkan kecewa atau merajuk dengan industri, sebaliknya dia lebih aktif bekerja di belakang tabir.
Bertahun-tahun saya sibuk dengan pengurusan acara dan tugas pemasaran. Selain itu, saya tetap menyanyi di majlis korporat untuk mengekalkan momentum. Cuma saya tidak berada di hadapan kamera seperti dulu.
Mau Apa Lagi?

Selepas lapan tahun tanpa single, Irene berkata buah tangan terbaharunya berjudul ‘Mau Apa Lagi?’ menandakan fasa baharu dalam perjalanan seninya.
Saya kembali dengan hati yang lebih yakin. Seni tidak pernah meletakkan had umur. Selagi ada kreativiti dan disiplin, sesiapa pun berhak berkarya. Jadi saya anggap kemunculan semula ini sebagai permulaan baharu.
Lagu ciptaan Bendittho itu menampilkan elemen pop dance dengan nuansa hip-hop 90-an yang memberi sentuhan groove dan jiwa jalanan, namun tetap dipersembahkan dalam gaya moden.
Mengulas mengenai kemungkinan menggunakan gimik untuk bersaing dengan bakat baharu, Irene tidak menolak, namun tetap berhati-hati.
Dunia muzik sekarang memang penuh persaingan dan artis muda sangat berbakat. Kalau boleh saya nak elak gimik yang keterlaluan.
Tetapi kalau satu hari nanti ia menjadi keperluan untuk kekal relevan, mungkin saya akan pertimbangkan. Apa pun, saya lebih yakin dengan karya dan diri sendiri.
The post Usia 47 Tahun Bukan Halangan, Irene Catalina Kembali ‘Galak’ Berkarya Dengan Single ‘Mau Apa Lagi?’ first appeared on OHBULAN!.





