30.7 C
Kuala Lumpur
Friday, May 22, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    TVET Masuk Fasa Baharu: Lebih Fleksibel, Lebih Relevan & Dekat Dengan Dunia Sebenar

    Shopee Sale

    Landskap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia kini melangkah ke era baharu. Ini susulan pembentangan Rang Undang-Undang Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025 dan Rang Undang-Undang Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025, yang dilihat membawa pembaharuan besar terhadap hala tuju pembangunan bakat negara.

    Pertubuhan belia, BELIA MAHIR, menyambut baik pindaan ini kerana ia bukan sekadar kemas kini undang-undang tetapi satu isyarat jelas bahawa TVET kini dibina semula agar lebih fleksibel, berintegriti dan selari dengan keperluan industri sebenar.

    TVET Kini Lebih Realistik Untuk Anak Muda

    Bagi belia yang sedang atau bercadang untuk memilih laluan TVET, pindaan ini membuka ruang yang lebih realistik dan mesra masa depan. Antara perubahan paling ketara ialah pengenalan laluan modular menerusi Sijil Kemahiran Modular Malaysia.

    Kredit foto: Berita Harian

    Pendekatan ini membolehkan belia meningkatkan kemahiran secara berperingkat, mengikut kemampuan dan keperluan kerjaya tanpa perlu mengambil keseluruhan program sekaligus. Ringkasnya, boleh bekerja sambil belajar, dan terus upskill sepanjang hayat.

    Dalam masa sama, bidang teknologi termaju seperti Artificial Intelligence (AI), semikonduktor, automasi, Electric Vehicle (EV) dan teknologi hijau kini diberi pengiktirafan lebih jelas. Ini membuka peluang kepada belia untuk menceburi sektor yang menawarkan prospek kerjaya jangka panjang serta pendapatan lebih kompetitif.

    Turut diperkenalkan ialah kategori Pakar Kemahiran dan Pakar Kemahiran Kanan yang membuka laluan kerjaya lebih jelas untuk pekerja teknikal tempatan. Ia memberi peluang kepada mereka untuk terus berkembang, bukan sekadar kekal di peringkat asas, tetapi melangkah sehingga menjadi pakar industri.

    Sokongan Kewangan Buat Para Pelajar

    Dari segi pembiayaan, peluasan peranan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) membolehkan lebih banyak program latihan di luar NOSS yang diiktiraf menerima sokongan kewangan. Ini termasuk program berimpak tinggi serta kerjasama antarabangsa.

    MENARIK:  Jadual Lengkap Waktu Imsak & Berbuka Puasa Bagi Tahun 2026! Boleh Rujuk Negeri Masing-Masing

    Dalam masa sama, penguatkuasaan lebih tegas terhadap peminjam tegar dilihat sebagai langkah adil bagi memastikan dana pinjaman kekal mampan dan terus dapat dimanfaatkan oleh generasi belia seterusnya.

    Secara keseluruhan, pindaan ini menjadikan TVET lebih inklusif dan praktikal terutamanya untuk belia B40, asnaf dan golongan yang melihat latihan kemahiran sebagai laluan mobiliti sosial.

    Tenaga Kerja Lebih Berkualiti Untuk Industri

    Kredit foto: Harian Metro

    Bukan belia sahaja yang mendapat manfaat. Dari sudut industri, pindaan ini membantu menyelesaikan isu lama seperti ketidaksamaan standard latihan dan jurang kemahiran.

    Tempoh pentauliahan sehingga enam tahun, lengkap dengan mekanisme penggantungan dan pembatalan, memastikan hanya penyedia latihan berkualiti tinggi dibenarkan melahirkan tenaga kerja.

    Struktur Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) turut diperkukuh dengan penglibatan wakil industri termasuk MBOT, menjadikan keputusan lebih selari dengan realiti pasaran kerja.

    Dengan pengiktirafan rasmi terhadap program teknologi termaju, industri kini boleh mengambil graduan TVET yang sudah bersedia tanpa perlu melatih semula dari asas. Pendek kata, lebih “fit for industry”, bukan sekadar lulus peperiksaan.

    TVET Bukan Lagi Pilihan Kedua

    Menurut BELIA MAHIR, RUU TVET (Pindaan) 2025 adalah langkah strategik untuk memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam perebutan bakat global. Belia kini mempunyai laluan kerjaya yang lebih fleksibel dan bermakna, manakala industri memperoleh tenaga kerja yang lebih berkualiti dan diyakini.

    Organisasi itu turut menegaskan komitmen mereka untuk terus menjadi penghubung antara belia, latihan dan kerjaya, dalam usaha membina generasi bakat TVET yang kompeten, berintegriti dan bersedia bersaing di peringkat global.

    TVET hari ini bukan lagi pilihan kedua tetapi pilihan yang semakin masuk akal.

    The post TVET Masuk Fasa Baharu: Lebih Fleksibel, Lebih Relevan & Dekat Dengan Dunia Sebenar first appeared on OHBULAN!.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah