Selepas hampir sedekad menyepi, kumpulan pop terkenal tanah air, The Fabulous Cats yang dianggotai Cat Farish, Datin Alyah dan Adeep Nahar kembali mewarnai industri muzik dengan melancarkan single raya berjudul Satu Syawal.
Artikel Berkaitan: ‘Kalau Buat Bariatrik Jangan Tipu, Dakwa Diet & Amal Suplemen’ – Alyah
Satu Syawal

Karya tersebut merupakan kolaborasi bersama Luncai Emas Sdn. Bhd. dan menjadi projek pertama mereka sebagai tanda kebangkitan semula kumpulan berkenaan.
Menurut Cat Farish, lagu yang sudah dihasilkan sejak tahun 2014 itu mempunyai nilai sentimental kerana melibatkan beberapa rakan seperjuangan mereka yang telah meninggal dunia.
Lagu ini ada nilai sentimental kepada kami apabila ada rakan seperjuangan yang pernah terlibat dalam pembikinannya termasuk arwah Lok Yu, Kelly serta Abang Aji yang merupakan ‘sessionist’ yang membantu menjayakan lagu ini.
Lagu Satu Syawal sebenarnya lagu lama. Ia dirakamkan pada sesi terakhir saya bersama barisan pemuzik hebat iaitu arwah Lok Yu, arwah Kelly dan arwah Aji.
Tambah Cat, karya itu pada asalnya bukanlah sebuah lagu raya sebaliknya lagu yang berkisarkan tentang kehilangan sebelum diolah semula menjadi karya Aidilfitri.
Lagu ini asalnya bukanlah lagu raya, tetapi sebuah karya yang berkisarkan mengenai pemergian dan kehilangan yang mana pada asalnya ia berjudul Satu Dua Tiga.
Ia juga menyentuh sikap segelintir individu yang sering menangguhkan kepulangan ke kampung dengan alasan seperti ‘tak apa, raya tahun depan aku balik’, tanpa menyedari bahawa ada hati yang mungkin berkecil hati. Malah kita perlu ingat, masa tak boleh dibeli dan ia tidak selalu memberi peluang kedua.
Comeback

Mengulas lanjut mengenai jiwa lagu tersebut, Adeep Nahar berkata mesej asal karya berkenaan sebenarnya sangat dekat dengan realiti kehidupan.
Bila diteliti, mesej lagu ini sangat dekat dengan kita. Kadang-kadang kita sibuk cari kebahagiaan jauh di luar, rupanya kebahagiaan itu ada di depan mata iaitu keluarga, tetapi kita gagal melihatnya.
Jadi lirik yang disesuaikan menjadi lagu raya bagi menterjemahkan rasa sedih dan kesedaran itu.
Sementara itu, Alyah pula berkongsi bahawa penyatuan semula mereka sebenarnya berlaku secara tidak dirancang selepas digandingkan dalam sebuah persembahan pada penghujung tahun lalu.
Bila berkolaborasi dalam persembahan itu, rasa keserasian dan magis itu masih sangat kuat. Terbit rasa seronok apabila dapat mengimbau memori lama menyanyikan lagu-lagu kumpulan ini. Jadi, saya cakap pada Cat, jom kita cuba kembalikan The Fabulous Cats.
Kemunculan Satu Syawal juga dilihat sebagai pembuka kepada pelbagai perancangan lebih besar kumpulan tersebut pada masa akan datang.
Menurut Cat, mereka kini merancang untuk merakamkan semula beberapa lagu hit lama kumpulan itu dengan sentuhan vokal baharu daripada Alyah.
Selain itu, mereka juga merancang untuk mengadakan sebuah showcase berskala kecil bagi meraikan kemunculan semula kumpulan tersebut kepada peminat.
Lagu Satu Syawal kini boleh didengari di semua platform penstriman muzik, manakala muzik videonya turut tampil dengan konsep teknologi Hybrid AI bagi memberikan pengalaman visual yang lebih segar kepada penonton.
The post The Fabulous Cat Buat ‘Comeback’! ‘Satu Syawal’ Satukan Semula Cat Farish, Alyah & Adeep Nahar first appeared on OHBULAN!.





