32.1 C
Kuala Lumpur
Monday, May 18, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Adun PKR ingatkan kerajaan jangan musuhi gerakan masyarakat sivil, NGO

    Shopee Sale

    Seorang Adun PKR meminta kerajaan menghentikan budaya melabel dan mengintimidasi pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), susulan isu dakwaan penerimaan dana asing oleh gerakan Mandiri.

    Adun Semambu Chan Chun Kuang berkata, pihak berkuasa sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh demokrasi serta menyiasat isu penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang lebih besar kesannya kepada rakyat.

    Menurutnya, dakwaan penerimaan dana asing tidak boleh dijadikan alasan untuk memusuhi gerakan masyarakat sivil yang memperjuangkan agenda integriti, hak asasi manusia, dan keadilan sosial.

    "Dakwaan bahawa Mandiri menerima dana asing tidak harus dijadikan alasan untuk memusuhi NGO atau gerakan masyarakat sivil yang memperjuangkan agenda integriti, hak asasi manusia, keadilan sosial dan antirasuah.

    "Sebaliknya, kerajaan perlu bersikap lebih terbuka menerima pandangan kritikal dan melakukan muhasabah bagi memperbaiki kelemahan institusi negara.

    “Dalam sistem demokrasi, kerajaan bukan institusi yang kebal daripada kritikan atau pertikaian. Kerajaan perlu memastikan pentadbiran terus relevan dengan kehendak rakyat dan bukannya mengambil pendekatan memusuhi pihak yang berbeza pandangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, Pemuda PKR (AMK) menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) Mandiri menerima dana asing yang bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan dan menggugat kestabilan politik negara.

    Bagaimanapun, kumpulan itu menafikan terlibat dalam sebarang salah laku.

    Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua AMK Kamil Abdul Munim berkata terdapat laporan bahawa antara November 2024 hingga Jun 2025, Mandiri menerima dana berjumlah RM1.5 juta daripada pertubuhan berhaluan kiri di Amerika Syarikat, iaitu The Tides Foundation.

    Menurutnya terdapat tujuh transaksi berjumlah RM686,729 dibuat kepada pengarah eksekutif Mandiri, Amir Hariri Abd Hadi, dan beberapa individu lain yang dikaitkan dengan kumpulan itu antara 2024 hingga 2025.

    Kamil - yang juga setiausaha politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Kementerian Kewangan - mendakwa dana tersebut mempunyai kaitan dengan gerakan politik tertentu termasuk pembiayaan operasi media sosial serta menggerakkan protes jalanan bagi mewujudkan persepsi serta naratif kebencian terhadap kerajaan, sekali gus menggugat kestabilan politik negara.

    MENARIK:  Bapa calon BN PRK Mahkota meninggal dunia

    Mengulas lanjut, Chan mengingatkan pimpinan Pakatan Harapan (PH) agar tidak mengamalkan pilih kasih memandangkan mereka juga pernah berdepan tuduhan serupa ketika berada di blok pembangkang.

    Dia turut memetik contoh bagaimana PH dan Bersih sebelum ini sering dikaitkan dengan dana asing daripada organisasi seperti Open Society Institute (OSI) dan National Democratic Institute (NDI).

    "Tidak wajar hari ini ada pihak yang mengambil pendekatan berbeza hanya kerana kedudukan politik telah berubah.

    "Ramai pimpinan kerajaan hari ini melalui pengalaman dituduh pelbagai perkara ketika menjadi pembangkang. Saya percaya pemimpin seperti Ketua AMK, Kamil Munim, seharusnya memahami realiti perjuangan masyarakat sivil dan gerakan reformasi," ujarnya lagi.

    Tambahnya, permohonan geran oleh NGO adalah perkara biasa dalam gerakan masyarakat sivil antarabangsa selagi ia mematuhi undang-undang, telus, dan diaudit secara sah.

    Dalam pada itu, Chan turut menyeru pihak berkuasa agar mengalihkan fokus kepada kes-kes yang masih menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat.

    Ini termasuklah dakwaan berkaitan "mafia korporat" serta kontroversi pemilikan saham membabitkan bekas ketua pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah