Penyanyi, Siti Nordiana tampil dengan kelainan menerusi single terbaharunya berjudul Ahai iaitu sebuah karya Irama Malaysia moden ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh di bawah syarikat rakaman 1711 Music.
Artikel Berkaitan: Siti Nordiana Nafi Sudah Berkahwin, Selesa Jalani Hidup Ibu Tunggal – ‘Kalau Jodoh Datang Pada Usia 50 Tahun, Saya Terima’
Kembalikan Irama Malaysia

Siti Nordiana atau mesra disapa Nana, berkata, Ahai adalah hasil impiannya selama dua tahun untuk mengembalikan keindahan dan nostalgia lagu Irama Malaysia ke dalam arus muzik semasa.
Sudah lama sebenarnya saya berniat nak keluarkan lagu Irama Malaysia. Dulu saya pernah rakam lagu genre ini dan memang teringin nak kembalikan semula momen itu.
Jadi, selepas dua tahun berfikir dan merancang, alhamdulillah akhirnya terlaksana bila saya kongsi hasrat itu dengan Ikhwan dan Wan Saleh.
Tambah Nana, kolaborasi bersama dua komposer berpengalaman itu sangat menyeronokkan kerana mereka berjaya menghasilkan sesuatu yang benar-benar menepati cita rasanya.
Saya memang puas hati dengan duo hebat ni. Apa yang saya mahu mereka berikan. Ahai memang jiwa saya sebab ada bunyi kompang, gendang dan elemen tradisional yang mengimbau zaman kita membesar dulu, tapi dalam gaya moden. Lenggok vokal pun hasil perbincangan kami bertiga.
Irama Malaysia ini memang jiwa saya dari dulu lagi. Saya membesar dengan lagu-lagu genre ini termasuk menyertai pertandingan bintang asli sejak kecil.
Malah, dulu saya pernah keluarkan album Irama Malaysia berjudul Firuz pada 2003. Jadi, apabila peminat pun sering minta saya nyanyi lagu Irama Malaysia masa show, saya rasa inilah masa yang sesuai untuk kembalikan genre ini dengan pendekatan lebih segar.
Mesej tersirat

Rakaman lagu Ahai juga memberi cabaran tersendiri buat Nana dari segi kawalan emosi, penghayatan dan karakter vokal.
Lagu ni bercerita dan memberi nasihat kepada pasangan yang baru berkahwin. Jadi, saya kena main dengan emosi yang mana ada masa kena lembut, tegas, tapi dalam nada gurau senda. Rentaknya laju, jadi kena seimbang antara tenaga dan kelembutan.
Lirik lagu ini sangat indah dan bermanfaat. Ia mengingatkan kita supaya menjaga diri, niat perkahwinan dan berbuat baik kepada pasangan.
Jangan sesekali aniaya orang yang kita sayang sebab setiap perbuatan ada balasannya. Lagu ini boleh dijadikan panduan hidup, bukan sekadar hiburan.
Lagu Ahai kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital dan video muzik rasmi lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.
The post Siti Nordiana Kembalikan Nostalgia Irama Malaysia Menerusi ‘Ahai’, Ada Mesej Tersirat Tentang Niat Perkahwinan first appeared on OHBULAN!.





