Dalam dunia serba digital hari ini, jenayah siber bukan lagi perkara luar biasa. Menerusi laporan, sebanyak 34,945 kes jenayah siber direkodkan pada tahun 2023 sahaja, dengan kerugian mencecah RM1.34 bilion menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya!
Dari scammer yang menyamar sebagai pegawai bank, hinggalah ke kes buli siber yang menyebabkan trauma emosi menunjukkan keperluan mendesak untuk sistem siasatan yang lebih cekap dan pantas.
Disebabkan trend ni, kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini memperkenalkan cadangan Kerangka Pengawalseliaan untuk penyimpanan, pemeliharaan dan pendedahan data komunikasi bagi tujuan siasatan.
Framework ni bukan calang-calang, sebab ia berpaksikan pindaan undang-undang terbaru dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Korang kena tahu kenapa ia penting, jom baca penuh artikel ini.
Siasatan tersekat sebab tiada data, penjenayah terus bebas
Ramai tak tahu, dalam banyak kes scam dan jenayah online, polis atau SKMM perlu dapatkan bukti digital seperti log mesej, lokasi dan nombor telefon.
Akan tetapi, tanpa undang-undang yang jelas, proses siasatan jadi lambat. Untuk pengetahuan korang, inisiatif ni bermula lepas Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) dipinda tahun ni.
Ada tiga seksyen baru diperkenalkan iaitu 252A, 252B dan 268A yang beri kuasa kepada kerajaan untuk kawal bagaimana data komunikasi boleh disimpan, dipelihara dan didedahkan untuk tujuan siasatan.

Maksudnya, kalau ada kes jenayah siber, pihak berkuasa boleh dapatkan maklumat penting seperti bila panggilan dibuat, siapa mesej siapa dan dari mana tetapi semua tu mesti ikut saluran sah dan terkawal. Ini penting supaya hak privasi rakyat masih terpelihara.
Menurut pakar keselamatan siber, Fong Choong-Fook dari LGMS Bhd, kerangka macam ni sangat penting supaya tak berlaku kekeliruan.

“Bila tak ada peraturan yang jelas, semua benda jadi kelabu. Contohnya, bila ada jenayah dalam talian seperti scam atau buli siber, pihak berkuasa memang perlu tengok rekod digital.
“Tapi semua tu mesti dibuat secara sah dan ikut proses betul. Kerangka ni akan beritahu dengan jelas apa yang boleh atau tak boleh dibuat oleh telco, polis dan juga orang awam,” katanya.
Dengan kerangka ni, penguat kuasa boleh bertindak lebih cepat dan ikut jejak digital penjenayah sebelum lebih ramai jadi mangsa.
Bagaimana pula dengan privasi korang?
Salah satu kebimbangan utama rakyat adalah tentang privasi. Tapi MCMC jamin yang akses kepada data hanya akan berlaku dengan notis bertulis dan ikut prosedur undang-undang.
Tiada pemantauan besar-besaran atau ‘spying’ macam dalam filem. Framework ni ikut piawaian antarabangsa macam Budapest Convention 2001 dan UK Investigatory Powers Act 2016, jadi ia lebih kepada membantu siasatan bukan ganggu hak korang.
Menurut Fong, akses kepada data hanya boleh dibuat bila perlu dengan kelulusan yang sah dan tak semua orang boleh tengok data tu.
Maksudnya, keselamatan dan privasi boleh seimbang kalau dilaksanakan dengan betul.
Jadi, siapa yang simpan data ni?
Antara cabaran utama ialah kemampuan telco untuk simpan dan jaga data dengan selamat. Tambah lagi, risiko digodam pun tinggi bila simpan data berskala besar.
Difahamkan, data akan disimpan oleh telco atau penyedia perkhidmatan berkaitan dan bukan semua boleh tengok sesuka hati.

Penting untuk tahu, kandungan komunikasi seperti mesej dan panggilan tiak termasuk, hanya metadata seperti siapa telefon siapa, bila dan dari mana.
Fong cadangkan agar kerajaan bantu dari segi teknikal dan kewangan, serta beri penjelasan yang telus kepada rakyat supaya orang ramai faham kenapa kerangka ni perlu dilaksanakan.
“Banyak inisiatif baik kerajaan gagal sebab kurang komunikasi. Kalau ada penjelasan yang baik dan PR yang betul, orang awam akan lebih terbuka,” ujarnya.
Suarakan pandangan korang!
Untuk makluman, MCMC buka konsultasi awam bermula Julai hingga Ogos 2025. Maksudnya, orang awam, pakar, industri dan NGO semua boleh hantar maklum balas.
Korang pun boleh join sama ada hantar melalui emel atau isi borang atas talian di laman rasmi MCMC. Menurut Fong, pendekatan ni sangat bagus sebab ia tunjuk ketelusan dan galakkan lebih ramai pihak terlibat.
Bila semua suara didengar, hasil akhirnya lebih seimbang dan praktikal. Framework ni bukan sekadar borang dan prosedur tetapi ia mungkin kunci untuk selamatkan ramai rakyat Malaysia daripada jadi mangsa scam dan jenayah digital.
Tapi untuk jadikan kerangka ni efektif dan adil, korang pun kena ambil tahu dan bersuara. Kalau ada benda yang korang tak setuju atau nak cadangkan, jangan diam! Suara korang boleh bantu bentuk masa depan keselamatan digital negara.
The post Scammer & Buli Siber Berleluasa: Wajar Ke Kerajaan Intai Data Kita? first appeared on OHBULAN!.





