REV Media Group Sdn Bhd (REV) mengumumkan kini memiliki The Vocket Sdn Bhd sepenuhnya selepas melengkapkan proses pemerolehan terbaru.
The Vocket milik REV

REV sebelum ini memegang 52% kepentingan dalam The Vocket. Melalui transaksi baharu ini, REV memperoleh baki 48% saham sekali gus menempatkan The Vocket sebagai jenama milik penuh di bawah payung kumpulan tersebut.
Sejak 2024, The Vocket menunjukkan pertumbuhan kukuh dengan peningkatan pembaca unik kepada 1.4 juta, 68.5 juta paparan halaman bulanan serta lebih 758,000 pengikut media sosial.
Audiensnya majoriti lelaki (57%), dengan tumpuan terbesar datang daripada golongan milenial berusia 25 hingga 34 tahun (41%) dan 35–44 tahun (34%). Platform ini semakin dikenali sebagai destinasi utama peminat bola sepak, penggemar hobi serta anak muda yang mengikuti perkembangan gaya hidup, kewangan dan perjalanan.
Langkah kukuhkan REV

Ketua Pegawai Eksekutif REV Media Group, Samuel Wee, menyifatkan pemerolehan penuh ini sebagai langkah penting bagi mengukuhkan kedudukan REV dalam pasaran digital Malaysia.
Pengambilalihan ini memperkukuh komitmen kami dalam menerajui inovasi, memperluas capaian dan terus memimpin ruang media digital negara.
Dengan pemilikan penuh, kami dapat memacu pertumbuhan Vocket ke tahap yang lebih tinggi dan bersama-sama membentuk standard baharu dalam penerbitan serta kandungan digital.
Pengasas The Vocket, Mohd Fazreen Jasni, turut melihat perkembangan ini sebagai permulaan fasa lebih besar untuk jenama tersebut.
Vocket bermula 11 tahun lalu daripada minat terhadap perkongsian kandungan. Pemerolehan ini membuka era baharu untuk idea-idea lebih segar dan berani yang mampu berhubung dengan pelbagai lapisan masyarakat. Saya yakin masa depan Vocket kini lebih kukuh dan lebih dinamik.
Ujar Fazreen, dia akan memberi ruang kepada pasukan untuk menerajui pembangunan seterusnya, sambil memberi tumpuan kepada perkembangan peribadi dan aktiviti sukan.
Integrasi penuh The Vocket ke dalam ekosistem REV Media Group dijangka membuka peluang pengiklanan rentas platform, penargetan audiens yang lebih tepat dan laluan monetisasi baharu.
Penjajaran strategik ini memperkukuh kedudukan REV Media Group sebagai rakan utama jenama yang mencari jangkauan luas serta kandungan berteraskan budaya semasa di Malaysia.
The post REV Media Group Kini Miliki The Vocket Sepenuhnya first appeared on OHBULAN!.





