29.6 C
Kuala Lumpur
Sunday, September 13, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Prestij Di OTT, Capaian Di TV? Zul Ariffin Lihat Dua Dunia Yang Berbeza

    Shopee Sale

    Perubahan cara penonton menikmati kandungan hari ini secara tidak langsung turut mengubah perjalanan kerjaya seseorang pelakon.

    Jika dahulu drama televisyen menjadi antara laluan utama untuk memperkenalkan wajah baharu, kemunculan platform penstriman digital atau OTT (over the top) kini membuka satu lagi ruang yang sering dikaitkan dengan produksi lebih eksklusif dan kandungan premium.

    Namun bagi aktor Zul Ariffin, kewujudan platform baharu tidak semestinya menjadikan televisyen kurang penting. Sebaliknya, kedua-duanya mempunyai kekuatan dan kelompok penonton tersendiri.

    ARTIKEL BERKAITAN: Isu Babak & Skrip Kontroversi, Zul Ariffin Berpendapat Pelakon Ada Hak Bincang Dengan Pengarah

    ARTIKEL BERKAITAN: Zul Ariffin Ulas Trend Budak Baru Tolak Drama – ‘Kalau Nak Asah Bakat, Itu Tempat Terbaik’

    TV & Platform Premium Ada Penonton Berbeza

    Selepas bertahun-tahun bergerak antara drama, filem dan kandungan digital, Zul melihat sendiri perbezaan bagaimana sesebuah karya sampai kepada penonton.

    Menurut Zul, ada penonton yang aktif ke pawagam atau memilih kandungan di platform tertentu, tetapi masih terdapat kelompok besar yang menjadikan televisyen sebagai hiburan utama di rumah.

    “Orang yang pergi wayang belum tentu tengok TV, begitu juga sebaliknya. Dua-dua ada crowdyang berbeza.

    “Saya bermula dari drama sebelum melalui transisi ke platform lain. Tapi sampai sekarang saya masih rindukan TV,” katanya.

    Zul tidak menafikan generasi pelakon hari ini mungkin mempunyai pertimbangan berbeza dalam memilih projek, termasuk mengejar karya yang menawarkan nilai lebih premium.

    MENARIK:  Stacy & Akim, Thalita, Zaki Yamani Antara Barisan Artis Bakal Hangatkan Central Market Hujung Minggu Ini
    " data-video-id="7683462996722650375" style="max-width: 605px;min-width: 325px">
    @xtra_my Makin lama makin kacak ek abang Zul Ariffin kita ni 😍 . Zul membintangi naskhah Takdirnya Cinta bergandingan dengan Siti Khadijah Halim. Menjalankan penggambaran di Turkiye, karya ini diterbitkan oleh Datuk Adzliana Hasan & diarahkan oleh Izuan Mokhtar. . Komen & follow OHBULAN! dan Xtrapedia untuk berita terkini. . #xtramy #xtrapedia #xtrapediaKR #takdirnyacinta ♬ original sound – XTRA

    Namun dari sudut capaian, Zul percaya drama televisyen masih mempunyai kelebihan tersendiri kerana mampu sampai kepada penonton dari pelbagai latar belakang dan lokasi.

    Katanya, tidak semua orang mempunyai rutin untuk ke pawagam pada hujung minggu atau melanggan setiap platform digital yang tersedia.

    “TV punya reach jauh. Orang di Perlis, Kedah, Sabah, Perak atau kawasan luar bandar masih tengok TV.

    “Bukan semua orang akan hidupkan kereta hujung minggu semata-mata nak pergi tengok wayang. Tapi kalau TV, satu keluarga boleh tengok,” jelasnya.

    Drama Bina Hubungan Lebih Lama Dengan Penonton

    Bagi Zul, satu lagi kekuatan drama terletak pada tempoh hubungan yang dibina bersama penonton.

    Berbeza dengan filem yang selesai dalam tempoh sekitar dua jam, drama bersiri membolehkan penonton mengikuti watak dan perkembangan cerita untuk tempoh lebih panjang.

    Sebab itu, walaupun sudah lama mencipta nama di layar lebar, Zul masih menerima pertanyaan daripada peminat yang merinduinya muncul dalam drama televisyen.

    " data-video-id="7683937764957703445" data-embed-from="oembed" style="max-width:605px;min-width:325px">
    @utv.officials

    Sofea.. Tenang di luar, tapi siapa tahu apa yang tersimpan di sebalik senyuman itu? Setiap pilihan ada sebab, setiap rasa ada ceritanya. ❤ Jom kenali Siti Khadijah dalam Takdirnya Cinta sedikit sneak peek sebelum kita selami kisahnya. 👀✨ 🎬 Takdirnya Cinta 📺 UTV App | Hanya RM9.50

    ♬ original sound – utv.officials – utv.officials

    “Ada orang tanya, lama tak tengok Zul berlakon. Maksud mereka dekat TV. Sebab hari ini ada satu episod, esok sambung lagi. Momentum dia lain.

    “Kalau wayang, sekali tengok dua jam, habis di situ,” katanya.

    Selain capaian, pengalaman panjang Zul dalam drama turut membuatkannya melihat medium itu sebagai ruang penting untuk mengasah kemampuan lakonan.

    Drama yang panjang memerlukan seseorang pelakon mengendalikan pelbagai lapisan emosi, mengekalkan konsistensi watak dan melalui perkembangan cerita dalam tempoh yang jauh lebih lama berbanding sebuah filem.

    Bagi Zul, pengalaman sebegitu akhirnya menjadi persediaan apabila seseorang pelakon menerima peluang yang lebih besar pada masa akan datang.

    Dalam landskap hari ini, pilihan juga tidak lagi semestinya antara televisyen atau OTT semata-mata.

    Sebaliknya, kewujudan lebih banyak platform memberi ruang kepada pelakon dan produksi untuk menawarkan karya kepada kelompok penonton yang berbeza.

    Zul sendiri kini terus bergerak antara filem, drama dan kandungan platform digital tanpa melihat salah satu daripadanya sebagai pengganti kepada yang lain.

    Mungkin persoalannya bukan lagi platform mana lebih hebat, tetapi karya apa yang paling sesuai untuk setiap medium dan siapa penonton yang mahu dicapai.

    Takdirnya Cinta Temukan Zul & Siti Khadijah Buat Pertama Kali

    Pandangan mengenai dunia OTT itu cukup bertepatan dengan kemunculan karya terbaharu Zul, Takdirnya Cinta, yang diterbitkan khas untuk platform penstriman digital UTV.

    Telefilem berkenaan cukup istimewa apabila menemukan Zul dengan Siti Khadijah Halim buat pertama kali sebagai pasangan utama dalam sebuah naskhah.

    Diterbitkan sempena ulang tahun pertama UTV, Takdirnya Cinta membawa kisah percintaan matang dengan sebahagian besar penggambaran berlangsung di Istanbul, Turkiye.

    Presiden UTV merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, Datuk Adzliana Hasan berkata, pihaknya sudah lama berhasrat membawa Zul ke dalam karya terbitan UTV.

    " data-video-id="7683475627814522120" data-embed-from="oembed" style="max-width:605px;min-width:325px">
    @xtra_my

    Cantiknya gadis Melayu terakhir ni 😍Anggun penampilan Siti Khadijah Halim hari ni dengan persalinan denim! 😍 . Siti membintangi naskhah Takdirnya Cinta bergandingan dengan Zul Ariffin. Menjalankan penggambaran di Turkiye, karya ini diterbitkan oleh Datuk Adzliana Hasan & diarahkan oleh Izuan Mokhtar. . Komen & follow OHBULAN! dan Xtrapedia untuk berita terkini. . #xtramy #xtrapedia #xtrapediaKR #takdirnyacinta

    ♬ original sound – XTRA – XTRA

    Menurutnya, Takdirnya Cinta akhirnya menjadi naskhah yang dirasakan paling sesuai untuk menyatukan Zul dan Siti Khadijah selepas kedua-duanya tidak pernah dipertemukan sebagai pasangan utama sebelum ini.

    Malah, Adzliana melihat gandingan itu mempunyai chemistry tersendiri sehingga tidak menolak kemungkinan karya tersebut mempunyai kesinambungan sekiranya menerima sambutan positif daripada penonton.

    Pengarahnya, Izuan Mokhtar pula memilih untuk membawa hubungan antara dua watak utama dengan pendekatan lebih matang.

    Berbeza dengan karya romantik komedi, Takdirnya Cinta banyak bergantung kepada emosi, dialog dan pandangan untuk membuatkan penonton percaya kepada hubungan yang terbina antara watak Zul dan Siti Khadijah.

    Pendekatan itu juga seakan selari dengan pandangan Zul sendiri mengenai kepentingan chemistry dan interaksi antara pelakon dalam membawa sesebuah kisah cinta.

    Bagi Zul, hubungan yang kelihatan semula jadi di layar tidak semestinya muncul begitu sahaja. Dialog, reaksi dan keserasian perlu dibentuk supaya adegan tidak terasa terlalu melodramatik atau membosankan.

    Takdirnya Cinta menjalani penggambaran selama 10 hari dengan dua hari di Kuala Lumpur dan lapan hari di Istanbul.

    Produksi turut berdepan cabaran cuaca apabila kebanyakan babak luar dirakam ketika suhu berada di bawah 10 darjah Celsius.

    Pemilihan Istanbul pula bukan sekadar mahu menghasilkan visual cantik, sebaliknya bandar itu dianggap mempunyai elemen romantik serta suasana Islamik yang dekat dengan penonton tempatan.

    Setahun UTV, Satu Lagi Ruang Untuk Kandungan Tempatan

    Kemunculan Takdirnya Cinta juga menandakan perjalanan setahun UTV dalam arena penstriman digital tempatan.

    Sepanjang tempoh itu, platform berkenaan tampil dengan beberapa kandungan original termasuk Poskad Cinta Dari Istanbul, Poskad Cinta Dari Auckland, Fantasi Fiksi dan Dink! I Love You.

    Bagi UTV, pertumbuhan OTT memberi ruang lebih besar kepada kandungan tempatan untuk bereksperimen dengan idea, lokasi serta gandingan pelakon yang mungkin sukar direalisasikan menerusi pendekatan konvensional.

    OTT mungkin menawarkan ruang yang lebih eksklusif dan kebebasan untuk produksi meneroka bentuk penceritaan berbeza. Televisyen pula masih mempunyai kelebihan dari segi capaian serta hubungan panjang yang dibina bersama penonton.

    Bagi Zul, kedua-dua dunia itu tidak perlu bersaing untuk menentukan siapa lebih relevan. Selepas membina namanya menerusi drama, berkembang ke layar lebar dan kini terus meneroka platform digital menerusi karya seperti Takdirnya Cinta, perjalanan Zul sendiri menunjukkan bahawa seorang pelakon tidak semestinya perlu memilih satu sahaja.

    Prestij mungkin boleh ditemui di mana-mana platform, tetapi dalam industri yang sentiasa berubah, kemampuan untuk terus sampai kepada penonton mungkin jauh lebih penting.

    The post Prestij Di OTT, Capaian Di TV? Zul Ariffin Lihat Dua Dunia Yang Berbeza first appeared on OHBULAN!.



    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah