Pelakon, Siti Elizad melihat bidang lakonan bukan sekadar kerjaya, malah boleh menjadi medium untuk mengumpul pahala sekiranya naskhah yang dijayakan membawa mesej positif kepada penonton.
Artikel Berkaitan: Siti Elizad Utamakan Disiplin Masa Di Set, Banyak Belajar Daripada Pelakon Senior – ‘Saya Hormat Krew & Pengarah’
Medium kumpul pahala

Menurut Elizad, 42, dia berbesar hati apabila diberi peluang membintangi karya yang bukan sahaja memberi manfaat kepada penonton, malah membuka ruang untuk dirinya mempelajari perkara baharu.
Bila kita dapat watak yang boleh menyampaikan mesej yang bagus, mengapa tidak kita terima? Sebagai pelakon, mungkin kadang-kadang saya tertanya-tanya, betul ke laluan kerjaya saya ini? Saya sendiri belajar perlahan-lahan.
Contoh, ketika menjayakan drama Mistik Bilik Mayat untuk TV Alhijrah, saya perlu memakai stoking. Lama-lama saya rasa, tidaklah susah sangat. Walaupun cuaca panas, kita belajar memakai pakaian yang lebih longgar.
Saya fikir apa yang kita lakukan ini adalah sesuatu yang Allah mahu kita belajar.
Elizad berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Pentas Drama TV Alhijrah 2026 yang berlangsung di ibu kota, baru-baru ini.
Penglibatannya dalam drama arahan Rashid Sibir itu juga memberi peluang kepada Elizad untuk mengetahui dengan lebih dekat mengenai pengurusan jenazah, termasuk beberapa perkara yang sebelum ini tidak pernah diketahuinya.
Untuk dapat watak dalam drama begini, saya tak pernah terfikir pun tapi tiba-tiba dapat tawaran, saya rasa macam berbesar hati. Kalau saya tidak diberi peluang untuk watak ini, mungkin saya tidak tahu mengenai perkara tertentu.
Bagi Elizad, pengalaman menjayakan naskhah berkenaan turut membuatkan dirinya lebih banyak memikirkan soal kehidupan, kematian, amal dan pahala.
Secara jujurnya, saya ini orangnya banyak berfikir. Tambah selepas berkahwin. Saya dulu cemburu dengan orang sekeliling yang mungkin ada anak.
Sebab saya fikir, seorang wanita atau mereka yang bergelar isteri, bila berumahtangga, kehidupannya bermula daripada pagi.
Celik mata, basuh dan gosok baju anak, dapat pahala. Masak, dapat pahala. Jadi bila saya hidup dengan suami saya, saya terfikir, ‘Apa yang saya boleh buat untuk kumpul pahala hari-hari?’
Kita nak berebut pahala dengan orang lain, betul tak? Mak-mak yang bangun tengah malam pun dapat pahala, penat menjaga anak-anak.
Jadi saya cemburu dengan mereka, jadi bila saya berlakon dalam drama ini, saya fikir sebenarnya kadang-kadang Allah belum kurniakan saya zuriat suapaya saya boleh buat pahala dengan orang sekeliling.
Mistik Bilik Mayat akan bersiaran menerusi aplikasi penstriman digital AlHijrah Plus (AH+) mulai 22 September hingga 26 Oktober, jam 10 malam.
Selain Elizad, siri berkenaan turut dibintangi Khir Rahman, Omar Abdullah dan Datuk Fauziah Nawi.
The post ‘Allah Belum Kurniakan Saya Zuriat Supaya Dapat Buat Pahala Dengan Orang Sekeliling’ – Siti Elizad first appeared on OHBULAN!.





