Persatuan Pentas Anak Seni Malaysia (PPASM) menunjukkan komitmen tinggi dalam memartabatkan warisan muzik berteraskan budaya, termasuk melalui penganjuran Pertandingan Nyanyian Borneo 2025 baru-baru ini.
Artikel Berkaitan: Najmi Niery Terharu Tercalon ABPBH 37, Tak Akan Lupa Kenangan Ditahan Dalam Lokap Untuk Bergelar Anak Seni
Bukan sekadar pertandingan

Pengerusi PPASM, Jawed Khan berkata acara itu lebih daripada sekadar pertandingan nyanyian dan merupakan satu inisiatif penting untuk mengasah bakat muda serta memastikan legasi kebudayaan terus dipelihara dan dihargai.
Platform ini dicipta untuk memberi pengiktirafan buat bakat-bakat penyanyi dari Borneo. Bukan hanya tampil sekadar tujuan hiburan, ia juga sebagai memartabatkan identiti budaya warisan.
Sambutannya sangat memberangsangkan serta penyertaan penyanyi-penyanyi berkualiti pada pertandingan itu menjadi bukti bahawa budaya tempatan bertuntas daripada akar yang kukuh terhadap jati diri.
Dalam pada itu, Jawed berkata selain memperkenalkan lagu-lagu Borneo, pertandingan itu juga bertujuan memperkasa jati diri bakat-bakat dari Sabah dan Sarawak.
Selain memelihara warisan muzik dari Borneo, ia menyediakan platform untuk peserta menyerlahkan kemampuan artistik, kreativiti, dan menghargai seni budaya tempatan.
Dataran Merpati, Kolej Sultan Alaeddin Suleiman, Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi tumpuan pada 18 Disember lalu apabila 18 peserta bertanding di peringkat akhir dalam satu pertandingan nyanyian yang penuh semarak.
Acara ini berjaya menampilkan kekayaan muzik etnik Borneo, termasuk lagu-lagu dalam bahasa Dusun, Kadazan, Iban, Bidayuh dan beberapa lagi, sekali gus memperkenalkannya kepada penonton daripada pelbagai latar belakang.
Siti Rafidah Daud dari Sabah memukau juri dengan nyanyian lagu berbahasa Dusun, Aada, sekaligus membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM1,000, trofi dan sijil.
Tempat kedua pula disandang oleh Harvard Sandar menerusi lagu Id Pagandadan, manakala Vannesa Anne Brown meraih tempat ketiga dengan lagu Ati Nuan Ati Aku.
Mereka masing-masing menerima wang tunai RM500 dan RM300, beserta sijil dan trofi penghargaan.
Program ini mendapat sokongan penuh daripada Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK), Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya Malaysia (MOTAC), menjadikannya platform penting dalam memartabatkan warisan muzik etnik Borneo.
The post Pertandingan Nyanyian Borneo Asah Bakat Muda, Mahu Pelihara Legasi Kebudayaan first appeared on OHBULAN!.





