
Isteri kepada pelakon, Azlan Komen iaitu Nur Nilam Ortiz menitipkan pesan buat mereka yang bakal mendirikan rumah tangga menerusi satu hantaran di TikTok.
Kahwinlah ikut proses Islam

Menerusi hantaran dibuat, Nilam yang memuat naik gambarnya dipeluk Azlan dari belakang berpesan kepada mereka yang belum berkahwin supaya mendirikan rumah tangga mengikut proses yang betul dalam Islam.
Ujarnya, selain melakukan solat Istikharah, mereka juga wajar melakukan dua proses lain iaitu istisyarah dan taaruf.
Saya nak sampaikan satu nasihat buat semua perempuan yang belum berkahwin dan yang bakal mendirikan rumah tangga. Mungkin kita sering terlepas pandang dalam hal ini.
Ingatkan anak lelaki dan anak perempuan kita, berkahwinlah mengikut proses yang betul dalam Islam.
Selain istikharah, lakukanlah istisyarah. Istisyarah ini bermaksud meminta nasihat dan bertanya pandangan dari mereka yang lebih mengetahui, sama ada pengetahuan itu berdasarkan pengalaman atau kerana mereka mengenali orang yang ingin dikahwini itu.
Kemudian, lakukan proses taaruf. Tujuan taaruf adalah untuk kita lebih ‘kenal’ bakal pasangan, dan langsung tidak melibatkan hormon yang membuatkan kita terbuai buai.
Waktu ini juga kita boleh tanya kenalan terdekat, makcik, pakcik, atok, nenek, untuk benar-benar kenal siapa bakal pasangan kita.
Kalau dalam proses ni tak jadi, pun tak apa. Tidak terikat, tidak ada rasa bersalah untuk menolak,InsyaAllah ada yang lebih baik dan sesuai untuk kalian berdua.
Tambah Nilam, kesemua proses itu akan membantu kita untuk mengenal pasti pasangan sebelum kita meneruskan niat untuk berkahwin.
Sebolehnya peluang untuk kenal tadi gunakan sebaik mungkin untuk lihat sisi ‘childhoof’ bakal pasangan kita.
Memang setiap dari kita ada kelemahan dan sememangnya tidak sempurna tetapi bila kita sedar dan akui ‘cycle’ yang kita perlu hentikan, kita akan lebih berusaha memperbaiki diri, pulihkan diri dan berhati-hati dalam membuat keputusan.
Usaha cari yang terbaik
Dalam pada itu, Nilam juga meminta mereka yang bakal berkahwin untuk berhenti mengimpikan kehidpuan yang bahagia bersama lelaki yang tidak pandai menjaga lisannya.
Tolong berhenti membayangkan untuk hidup bahagia dengan lelaki yang kelihatan soleh tetapi lisannya suka merendahkan rendahkan dan menyakitkan orang lain.
Tak ada pun sebenarnya orang jenis tidak menjaga lisan tapi hatinya baik. Baik lelaki mahupun yang perempuan.
Lisan, cerminan hati, dan dihatinya jugalah kalian akan menetap nanti,berhati-hatilah memilih.
Ada berjuta lagi lelaki di luar sana yang memiliki hati yang bersih dan indah.
Di akhir perkongsian, Nilam sekali lagi berpesan untuk tidak terburu-buru dalam mencari pasangan dan terus berusaha untuk mencari yang terbaik.
Jadilah hamba yang berusaha mencari yang terbaik, dan jika masih belum berjumpa yang terbaik, tenanglah saat masih belum berdua.
Persiapkan diri kita, terus perbaiki diri agar menjadi versi yang lebih baik dari sebelumnya.
Kita tidak perlu mengejar dan mengikut mana mana ekspektasi manusia lain untuk rasa bahagia.
Kita tak perlu takut dan rasa keseorang walaupun fitrahnya kita perlu ditemani.
Kerana sesungguhnya kita tidak pernah benar-benar sendiri dalam hidup ini.
Terdahulu, Nilam mencuri perhatian apabila mendedahkan suaminya, Azlan bakal berkahwin kali kedua.
Nilam kemudiannya hadir ke mahkamah pada 9 April lalu dengan berpakaian serba hitam bagi memfailkan fasakh.
Untuk rekod, Azlan dan Nilam mendirikan rumah tangga pada 22 Januari 2022.





