Perikatan Nasional (PN) dijadualkan mengadakan satu mesyuarat penting minggu depan bagi membincangkan masa depan dan kelangsungan gabungan pembangkang tersebut.
Langkah itu diambil susulan pergolakan politik yang semakin memuncak dalam komponen gabungan berkenaan, terutamanya melibatkan hubungan antara PAS dan Bersatu.
Sumber kepimpinan tertinggi Bersatu mendedahkan kepada Malaysiakini bahawa agenda utama mesyuarat tersebut akan berkisar kepada status kedudukan parti itu dalam PN.
"Mereka nak bincang kedudukan kami (Bersatu) dalam PN dalam mesyuarat akan datang ini.
"Mesyuarat minggu depan amat kritikal. Kita akan bincangkan secara menyeluruh hala tuju PN, termasuk sama ada Bersatu akan kekal atau wujud penjajaran baru.
"Kami tak pasti, sama ada PAS selaku ketua PN akan memanggil kami. Apa pun, ada sembilan hari lagi (untuk mesyuarat). Jadi, kami tunggu dan lihat dulu," kata sumber itu kepada Malaysiakini.
Malaysiakini telah menghubungi setiausaha agung PN Takiyuddin Hasan untuk komen.
Menurut sumber itu lagi, mesyuarat tersebut juga akan meneliti cadangan kemasukan semula bekas Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin (atas, tengah) ke dalam gabungan, selain membincangkan persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
"Kemasukan semula Hamzah ke dalam gabungan berkenaan kini menjadi subjek perdebatan hangat, memandangkan dia sebelum ini telah dipecat oleh Bersatu.
"Kemasukan semula Hamzah dalam gabungan memang ada dalam agenda. PAS dilihat cenderung untuk membawa beliau masuk semula, tetapi ia mendapat tentangan daripada pimpinan Bersatu yang bimbangkan kestabilan parti," tambah sumber itu.
PAS awal minggu ini menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu.
Ketegangan antara dua parti utama itu bermula sejak akhir tahun lalu apabila Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan sebagai pengerusi PN, yang kemudiannya menyaksikan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar daripada PAS mengambil alih teraju gabungan serta jawatan ketua pembangkang.

Krisis tersebut semakin parah berikutan kemelut politik di Perlis apabila Bersatu bertindak menggantikan jawatan menteri besar Mohd Shukri Ramli daripada PAS kepada penggantinya dari Bersatu Abu Bakar Hamzah.
Pemimpin PAS menggambarkan krisis Perlis sebagai satu pengkhianatan. Pemimpin Bersatu pula mendakwa bahawa PAS cuba bertindak sebagai 'abang besar' dengan mencampuri urusan dalaman Bersatu.
Terdahulu, sumber yang sama memberitahu Malaysiakini bahawa hari ini PAS mengadakan perbincangan dengan MIPP dan Gerakan mengenai masa depan gabungannya.
"Ada dua mesyuarat berasingan masing-masing antara PAS dan MIPP dan Gerakan.
"Hasil mesyuarat kami tak boleh dedahkan. Yang itu Gerakan dan MIPP kena jawab sendiri," kata sumber itu lagi.

Malaysiakini telah menghubungi MIPP dan Gerakan untuk ulasan.
Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Annuar Musa berkata, satu musyawarah (perbincangan) antara partinya bersama Gerakan dan MIPP sudah diatur dan disegerakan.
"Keputusan PAS memberhentikan kerjasama politik dengan Bersatu demi kebaikan bersama setelah pelbagai usaha dibuat tetapi keadaan tidak berubah.
"Bagaimana pun keputusan setakat ini hanya melibatkan taawun (kerjasama) antara dua parti dan sama sekali tidak melibatkan PN,” katanya.





