Pemimpin PAS nampaknya tidak berlengah dengan bertindak segera turun ke akar umbi dan menjelaskan 'dalil-dalil' di sebalik keputusan menghentikan hubungan politik dengan Bersatu.
Dalam satu ceramah di Kubang Pasu dua malam lalu, Ketua Dewan Ulama PAS Ahmad Yahaya mengkisahkan betapa PAS berjiwa besar dengan tindakan yang membawa terputusnya kerjasama dengan Bersatu.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, PN dengan gabungan dua parti utamanya itu meraih kejayaan besar khususnya di Kedah termasuk dewan undangan negeri (DUN) Derga yang menjadi kubu kuat DAP sebelum ini.
"PRU pada 2018 kita menang di DUN Bukit Lada, Bukit Pinang, apabila masuk DUN Derga kita kalah 5000 undi, bukan mudah. DAP menguasai Derga selama mana dah, mereka bertapak di situ.
"Tapi dengan kekuatan, gabungan, kerjasama PN, Alhamdulillah kita mencapai kejayaan besar, termasuk DUN Derga. Satu-satunya DUN dikuasai DAP di seluruh negara yang berjaya kita rampas, Adunnya bekerja dengan baik, orang muda, segak buat kerja cukup baik, tetapi Adun ini kena gantung.
"Kita bayangkan macam mana perasaan jentera, saya bukan nak mengungkit tapi nak gambarkan bagaimana perasaan jentera, sebab itu PAS mengambil satu pendekatan berjiwa besar," katanya ketika berucap di program pelancaran jentera PAS parlimen Kubang Pasu.
Dia berkata demikian sebagai mengulas tindakan Bersatu terhadap wakil rakyatnya di Kedah termasuk Mohamad Amri Wahab (Adun Derga) yang digantung keahlian selama dua penggal.

Selain itu dua lagi Adun di negeri itu dipecat iaitu Dzowahir Ab Ghani (Suka Menanti) dan Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang).
Ahmad yang juga pesuruhjaya PAS Kedah meluahkan rasa sedih dengan krisis yang berlaku terhadap Bersatu sambil mengenang kerjasama yang membawa kejayaan mereka di negeri Jelapang Padi itu.
"Nak gambarkan kejayaan itu diperolehi hasil daripada persahabatan, gabungan dan kerjasama. Tapi kita terpaksa zahirkan kesedihan, kita tak tahu apa jadi pada rakan kita. Saya ingat segan nak sebut secara terbuka tetapi semua orang dah maklum.
"Krisis berlaku kepada Bersatu, 'bersatu jadi berdua', tak cukup dengan itu berlaku pemecatan dan berlaku penggantungan. Ada kena pecat, ada yang digantung. Sampai ahli parlimen dipecat (dan) digantung sehingga berbaki enam orang, daripada kalangan rakan kita.
"Cuba bayangkan, nak menang (ketika itu), ini jentera (yang bekerja), nak boleh menang di Kubang Pasu, di Bukit Kayu Hitam, inilah orang yang buat kerja. Sebab itu kita sebut kita cukup sayang, cuma kita pelik. di Kedah tiba-tiba dua dipecat, seorang digantung," katanya.
Sementara itu Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Khairil Nizam Khirudin pula menjelaskan elemen-elemen wujudnya 'trojan horse' dalam Bersatu selain isu pengkhianat yang turut dibangkitkan.

Mengulas situasi dihadapi PN, kata parti itu mula melihat adakah wujud 'trojan horse' yang dihantar kerajaan ke dalam PN kerana sebelum ini segala-halanya berlangsung dengan tenang.
"Apabila berlakunya kegusaran dan perpecahan ini, ia mengganggu rentak pembangkang, kalau saya nak cerita pengkhianatan-pengkhiatan yang dibuat oleh kawan-kawan kita ini banyak, tapi PAS mengambil pendekatan - apa yang berlaku telah pun berlaku, kita kena pandang ke depan.
"Orang buat jahat, khianat kita, kita duduk dalam koalisi banyak kali. Ada orang kata PAS ini asyik nak bercerai saja, bercerai itu dibenarkan kalau suami atau isteri zalim. Kalau kawan kita zalim, menipu dan khianat kita takkan kita nak duduk diam.
"Tapi tindakan yang diambil mesti berteraskan fakta, berteraskan kepada bukti. Sebab itu sebelum berlaku apa yang nak berlaku dua malam lepas, berlakunya perpisahan dia bukan dibuat pada malam itu sahaja perbincangan," katanya dalam program ceramah isu-isu semasa peringkat Parlimen Lipis, semalam.

Ahli Parlimen Jerantut itu turut membangkitkan isu penolakan Bersatu terhadap parti-parti kecil yang ingin menjadi komponen PN.
Katanya, soal penyertaan parti-parti lain itu sepatutnya dibuat secara undi di peringkat pimpinan tertinggi.
"Kalau kita buat undian nampak tak cantik, kita buat konsensus, Bersatu tak terima. sebab itu kami merasai ada sesuatu yang berlaku. Kalau mereka tak bersetuju dengan parti2 kecil ini, kenapa mereka melaksanakan, kenapa mereka tubuhkan IPR (Ikatan Prihatin Rakyat), ini elemen-elemen trojan house yang PAS lihat.
"Kerana perkara itu berlaku ditambah dengan konflik Bersatu, digantung, dipecat 19 ahli parlimen PN. Bayangkan dalam keadaan sedang berperanang kita terpaksa tukar jeneral (ketua pembangkang), daripada Larut (Hamzah Zainudin) pergi ke Kemaman (Ahmad Samsuri Mokhtar)," kata Khairil Nizam sambil menambah bahawa keputusan dibuat untuk putus hubungan dengan Bersatu melalui proses yang panjang.





