Sebuah drama mungkin sudah tamat bertahun-tahun lalu, tetapi itu tidak bermaksud hayatnya turut berakhir.
Ia boleh ditayangkan semula di televisyen, muncul di platform streaming atau dijual ke pasaran lain. Penonton baharu terus menonton, tetapi bagi pelakon yang pernah menjayakannya, bayaran mereka lazimnya masih bergantung kepada apa yang sudah dipersetujui dalam kontrak asal.
Perkara itu kini kembali menjadi perhatian selepas Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengkaji kemungkinan memperkenalkan bayaran residual atau perkongsian hasil untuk karya audiovisual di Malaysia.
Tujuannya adalah supaya pelakon boleh mendapat bahagian ekonomi yang lebih adil apabila karya mereka terus digunakan secara komersial.
ARTIKEL BERKAITAN: Drama Diulang Tayang, Pelakon Tetap Dibayar Sekali? Mengapa Isu Royalti Masih Belum Selesai
Apa Sebenarnya ‘Residual Payment’?
Dalam bahasa mudah, ia ialah bayaran tambahan yang boleh diterima seseorang pelakon apabila karya lama mereka terus digunakan atau menjana nilai selepas tayangan asal.
Contohnya, sebuah drama mungkin diterbitkan lima tahun lalu tetapi masih berulang kali ditayangkan atau tersedia di platform streaming hari ini.
Persoalannya, apabila karya tersebut terus mempunyai nilai komersial, adakah pelakon yang menjadi sebahagian daripadanya juga patut terus mendapat bahagian?
Buat masa ini, Malaysia belum mempunyai mekanisme khusus untuk bayaran residual bagi pelakon dalam karya audiovisual. Imbuhan mereka bergantung kepada terma kontrak yang dipersetujui dengan penerbit atau pemegang hak karya.
Zaman Streaming Buat Hayat Sesebuah Drama Jadi Lebih Panjang
Dulu, sesebuah drama mungkin tamat apabila siaran televisyennya berakhir.
Sekarang, sebuah karya boleh mendapat kehidupan kedua atau ketiga melalui streaming, tayangan semula dan pasaran antarabangsa.
Malah, generasi baharu mungkin menemui drama lama bertahun-tahun selepas ia diterbitkan.
Sebab itu perbincangan mengenai residual terasa semakin relevan. Cara kandungan digunakan sudah berubah, jadi model bayaran kepada mereka yang terlibat juga mungkin perlu dilihat semula.

Tapi Bukan Semudah Bayar Setiap Kali Drama Ditayang
Pada masa sama, perkara ini bukan sekadar menentukan jumlah yang patut diterima pelakon.
Memetik laporan Astro Awani, FINAS mahu melihat tiga aspek iaitu perundangan, struktur industri dan amalan pasaran, termasuk sama ada mekanisme tersebut patut dilaksanakan melalui pindaan undang-undang, garis panduan industri atau kontrak standard.
Kepentingan penerbit juga perlu diambil kira kerana sistem yang diperkenalkan perlu kekal sesuai dengan kemampuan dan model perniagaan industri tempatan.
Maksudnya, persoalan bukan hanya “pelakon patut dibayar atau tidak?”, tetapi bagaimana satu sistem boleh diwujudkan supaya lebih adil tanpa menyebabkan kos produksi menjadi sukar ditanggung.
Mungkin Kontrak Akan Jadi Semakin Penting
Kalau perbincangan ini membawa kepada perubahan, satu perkara yang mungkin menjadi lebih penting ialah bagaimana kontrak pelakon disediakan sejak awal.
Hak tayangan semula, streaming, pasaran antarabangsa dan kemungkinan perkongsian hasil boleh menjadi perkara yang perlu dijelaskan dengan lebih terang sebelum penggambaran bermula.

Akhirnya, sebuah drama bukan lagi produk yang hidup hanya ketika ia mula ditayangkan.
Ada karya yang boleh ditonton semula bertahun-tahun, menemui penonton baharu dan terus mempunyai nilai selepas pelakon selesai berada di set.
Jadi apabila karya itu terus ‘bekerja’, adakah mereka yang menjayakannya juga patut terus menerima manfaat? Perbincangan itu nampaknya baru bermula.
The post Residual Payment: Patutkah Pelakon Dibayar Semula Untuk Tayangan Lama? first appeared on OHBULAN!.





