Melihat sokongan positif diberikan peminat, penyanyi, Datuk Elaine Kang membatalkan niatnya untuk menarik diri daripada menyertai program Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12).
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Nubhan Buat Kejutan Sertai GV12, Berikut Senarai Penuh Peserta
Tak jadi tarik diri

Nekad untuk terus bersaing, Elaine, 60, berkata, dia tidak akan menghampakan peminat yang setelah sekian lama rindu mahu melihatnya kembali beraksi sebagai penghibur.
Saya tidak jadi menarik diri daripada GV. Saya rasa sedih dan dalam masa gembira melihat sokongan peminat. Ada di antara mereka yang tidak mahu saya menarik diri dan teruskan perjuangan dalam program ini.
Saya sentiasa mahukan yang terbaik dalam melakukan persembahan, namun faktor kesihatan tidak mengizinkan. Saya tahu ramai peminat yang rindu melihat saya di atas pentas.
Elaine berkata demikian ketika ditemui di sidang media konsert minggu ketiga GV12 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, pada Ahad.
Kongsi Elaine lagi, keputusan untuk menarik diri sebelum ini dibuat atas beberapa masalah kesihatan yang dialami termasuk berkaitan jantung.
Saya yang degil untuk tidak mahu menarik diri. Apa pun saya perlu mengikut nasihat doktor. Sejujurnya masalah kesihatan yang saya alami adalah masalah jantung dan ada beberapa lain lagi.
Saya tidak mahu mendedahkan terlalu terperinci penyakit saya kerana tidak mahu peminat dan orang di sekeliling bertambah risau atau sedih. Saya seorang yang bermotivasi dan berani, ‘brave girl’.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Elaine turut memberitahu dia sentiasa membawa doktor peribadi ke setiap konsert GV12 bagi memastikan tahap kesihatannya dipantau rapi.
Setiap minggu, saya akan bawa seorang doktor yang akan ikut ke GV. Dia akan ‘standby’ untuk sebarang kemungkinan. Setakat ini doktor kata masih boleh, tapi dia nasihatkan jangan terlalu memaksa.
Kesihatan sangat penting, baik yang muda atau pun sudah berusia. Saya lihat bonda Hetty Koes Endang masih kuat dan semangat daripada saya.
The post Elaine Kang Batal Niat Tarik Diri, Terus Berjuang Demi Peminat – ‘Saya Ada Masalah Jantung, Setiap Minggu Bawa Doktor’ first appeared on OHBULAN!.





