Dalam setiap senyum seorang wanita, tersembunyi cerita perjuangan yang jarang terlihat. Ada yang menyara keluarga sendirian, ada yang bermula dari dapur kecil di rumah dan ada yang masih memegang impian biarpun dunia terasa berat di pundak.
Namun tahun 2026 hadir membawa sinar baharu apabila janji bukan sekadar di atas kertas, tetapi peluang nyata untuk wanita Malaysia bangkit dengan maruah, keyakinan dan daya sendiri.
Melalui Belanjawan 2026 MADANI Keempat, kerajaan menegaskan komitmen untuk menjadikan pemerkasaan wanita bukan ihsan, tetapi hak yang wajar ditunaikan.
RM2.5 bilion untuk usahawan mikro, beri peluang besar dan harapan baharu
Tahun ini, Belanjawan 2026 membuka lembaran baharu buat usahawan kecil dan mikro apabila kerajaan memperuntukkan lebih RM2.5 bilion pinjaman mikro melalui TEKUN Nasional dan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Dana ini sebahagian daripada RM50 bilion kemudahan pembiayaan dan jaminan kerajaan, khas untuk bantu rakyat memperkukuh perniagaan terutama wanita, belia dan golongan B40.

Malah, RM270 juta pembiayaan khas disediakan oleh Bank Rakyat, BSN, MARA dan SME Bank bagi menyokong usahawan wanita.
Sementara itu, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) turut menerima RM230 juta untuk manfaat lebih 300,000 sahabat usahawan wanita dengan kadar bayaran balik yang cemerlang.
Langkah ini bukan sekadar menyuntik dana, tetapi meniup semangat baharu agar wanita Malaysia terus melangkah ke depan bukan dengan rasa simpati, tapi dengan kemampuan dan kebanggaan.
Dari hobi ke sumber rezeki, ini kisah Aszalina yang bangkit dengan TEKUN
Bagi Aszalina, usia bukan penghalang untuk bermula semula. Dalam kesibukan hidup sebagai freelancer, beliau temui minat mendalam terhadap dekorasi dan ubah suai rumah.
Namun, tanpa modal dan keyakinan, impian itu hampir terhenti. Semuanya berubah apabila beliau mendapat pembiayaan daripada TEKUN Nasional, membuka ruang untuk menubuhkan perniagaan kabinet dapur buatan tangan yang kini makin dikenali pelanggan tetap.

“Bermula dari minat kecil dan semangat untuk belajar, TEKUN beri saya peluang untuk ubah hidup. Bantuan ini bukan sekadar modal, tapi titik mula kepada kerjaya yang saya banggakan hari ini.” ujar Aszalina, Pengusaha Kabinet Dapur.
Kini, Aszalina menjadi simbol harapan bahawa kejayaan bukan milik mereka yang bernasib baik, tetapi milik mereka yang berani mencuba.
“Kalau kita berani mencuba dan terus belajar, rezeki pasti datang dengan cara yang tak disangka. TEKUN buka jalan, saya sendiri yang melangkah.” tambahnya.
Bela nasib ibu tunggal & suri rumah dengan i-Suri Plus & bantuan JKM
Belanjawan 2026 juga memberi perhatian penuh kepada wanita dan ibu tunggal, golongan yang sering menjadi tiang keluarga walau dalam serba kekurangan.
Melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kerajaan akan membantu 5,000 ibu tunggal miskin yang memerlukan bantuan guaman dalam kes perceraian atau hak penjagaan anak.
Ini merupakan salah satu langkah penting untuk menegakkan hak dan keadilan mereka.

Bagi suri rumah pula, skim i-Suri Plus diperluas dengan umur kelayakan dinaikkan hingga 60 tahun, agar mereka terus dilindungi walaupun di usia persaraan.
Wanita bekerja sendiri dan pekerja gig juga kini menerima insentif caruman padanan sehingga RM600 setahun di bawah i-Saraan Plus, serta RM500 setahun di bawah i-Saraan biasa.
Inisiatif ini ibarat jaring keselamatan yang memastikan setiap peluh seorang wanita, sama ada di rumah atau di tempat kerja, tidak tumpah sia-sia.
Maruah, peluang & harapan baharu

Belanjawan 2026 bukan hanya tentang angka besar dan unjuran ekonomi, tetapi tentang manusia dan maruah mereka.
Dengan sokongan TEKUN, BSN, AIM dan pelbagai agensi lain, wanita kini tidak lagi perlu bergantung, sebaliknya boleh berdiri dengan keyakinan untuk membina bisnes, melindungi keluarga dan mencipta masa depan dengan tangan sendiri.
Kerana apabila wanita berjaya, sebuah keluarga terbela dan apabila keluarga terbela, negara pun makmur bersama.
#Belanjawan2026 #EkonomiMADANI #RancakkanMADANI
The post Dari Hobi Jadi Punca Rezeki — Belanjawan 2026 Terus Sokong Impian Usahawan Wanita Malaysia first appeared on OHBULAN!.





