Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) berkongsi dapatan Perundingan Awam Kebangsaan 2025 sempena semakan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia (Kod Kandungan).
Laporan berkenaan menunjukkan penglibatan besar rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang serta keutamaan mereka terhadap perkembangan landskap kandungan negara.
Artikel Berkaitan: Kod Tatalaku Dikuatkuasakan – Kandungan Online Lebih Selamat & Beretika
Artikel Berkaitan: Anak Belum 16 Tahun Tapi Dah Ada Media Sosial Kerajaan Cadang Had Umur Baharu Demi Lindungi Generasi Muda!
Kod Kandungan
View this post on Instagram
Sepanjang tempoh dua bulan bermula 8 September hingga 7 November 2025, perundingan tersebut berjaya mengumpul 1,891 penyertaan dan telah mencerminkan betapa tingginya kesedaran dan minat masyarakat untuk membentuk ekosistem digital yang lebih selamat serta beretika.
Penyertaan itu merangkumi orang awam, pemain industri, kumpulan advokasi dan profesional kandungan yang tampil berkongsi pandangan mengenai piawaian kandungan bertanggungjawab dalam era digital kini.
Lebih menarik, golongan belia mendominasi perundingan nasional CMCF ini ketika orang ramai menuntut perlindungan lebih kukuh terhadap AI, keselamatan kanak-kanak dan bahaya dalam talian.
Menurut CEO CMCF, Mediha Mahmood, golongan muda merupakan kumpulan terbesar yang menyumbang dengan sebanyak 908 penyertaan.
Ini sekali gus membuktikan mereka banyak bersuara mengenai perkara-perkara yang dianggap memudaratkan, adil dan wajar daripada platform pengawal selia.
Perundingan awam ini merupakan ujian ketahanan bagi setiap peruntukan dalam Kod Kandungan.
Sokongan dan maklum balas terperinci menunjukkan rakyat Malaysia semakin peka terhadap bagaimana ruang kandungan mereka dibentuk
Dapatan utama laporan ini menunjukkan beberapa bidang keutamaan bagi semakan Kod Kandungan baharu iaitu:
AI dan teknologi baharu: Orang ramai menuntut langkah perlindungan praktikal seperti pelabelan jelas, tanggungjawab individu dan kewajipan realistik untuk platform.
Perlindungan kanak-kanak: Langkah lebih kukuh untuk mencegah dan menangani Bahan Penderaan Seksual Kanak-kanak (CSAM). Maklum balas menunjukkan keperluan peraturan yang lebih jelas dan kurang kekaburan selaras dengan tanggungjawab lebih tinggi terhadap kanak-kanak.
Standard kandungan kanak-kanak: Penerbit dan pencipta perlu mematuhi undang-undang perlindungan kanak-kanak, standard pengelasan dan amalan terbaik untuk memastikan kandungan sesuai usia, tidak ganas dan memupuk nilai positif. Responden turut menegaskan bahawa data kanak-kanak tidak wajar dijadikan aset pemasaran—profiling perlu dimatikan secara default dan standard lebih tinggi diperlukan sebelum maklumat dikumpul atau digunakan.
Kepelbagaian dan representasi: Standard kandungan harus memastikan representasi yang adil dan penuh hormat terhadap semua kumpulan, termasuk mereka berdasarkan status migrasi dan warisan Orang Asli.
Keadilan dalam pengendalian aduan: Terdapat sokongan jelas agar Biro Aduan CMCF dapat mengendalikan kes melibatkan kandungan lama atau muncul semula, mencerminkan realiti kandungan digital yang boleh tersebar, berulang atau memberi kesan walaupun selepas diterbitkan.
Inklusiviti dan bahasa hormat: Penggunaan istilah yang tepat, inklusif dan penuh hormat ketika merujuk kepada orang kurang upaya.
Respon yang baik

Menurut Pengerusi CMCF, Datuk Rafiq Razali, respon terhadap konsultasi ini menunjukkan rakyat Malaysia amat mengambil berat tentang integriti persekitaran kandungan mereka.
Ia jelas bahawa masa depan tadbir urus kandungan bukan sahaja akan dibentuk oleh pembuat dasar dan industri, tetapi juga oleh komuniti yang hidup dan berinteraksi dalam ruang tersebut setiap hari.
Seiring evolusi teknologi, kerangka etika yang membimbing kita juga mesti bergerak seiring. Semakan Kod Kandungan akan menghasilkan dokumen yang lebih inklusif, futuristik dan seimbang antara kebebasan bersuara dengan akauntabiliti dan rasa hormat.
Sejak ditubuhkan pada 2004, Kod Kandungan menjadi rujukan utama dalam menetapkan standard etika serta amalan terbaik bagi penghasilan dan pengurusan kandungan.
Dilaksanakan di dibawah pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kod ini berfungsi sebagai rangka kerja kawal selia kendiri yang menekankan tanggungjawab individu dan kerjasama industri. Semakan berkala turut dilakukan bagi memastikan ia kekal relevan dengan perubahan pesat dalam ekosistem media dan digital negara.
Hasil konsultasi terbaharu ini pula akan digunakan dalam proses penggubalan akhir, bagi memastikan Kod Kandungan yang disemak mampu menangani cabaran digital semasa.
Peruntukan baharu itu dijangka memperkukuh perlindungan pengguna dan membina persekitaran dalam talian yang lebih selamat, telus dan bertanggungjawab untuk semua.
Tambah Mediha lagi, konsultasi ini memberikan lebih daripada sekadar konsensus, iaitu hala tuju. Kumpulan Kerja kini akan menterjemahkan pandangan tersebut kepada sebuah Kod yang kukuh dari segi undang-undang, relevan untuk masa depan dan jelas dibentuk oleh suara rakyat.
Ketika CMCF bersiap memuktamadkan Kod Kandungan yang disemak semula, organisasi ini kekal komited untuk meneruskan penglibatan bersama pihak berkepentingan melalui program jangkauan awam, sesi townhall dan inisiatif literasi media.
Untuk maklumat lanjut dan mengakses Laporan Konsultasi Awam, layari: https://contentforum.my/wp-content/uploads/2025/11/Public-Consultation-Report-CCR-2025.pdf
The post CMCF Terima Hampir 2,000 Respon, Golongan Muda Mendominasi & Prihatin Terhadap Kandungan Digital first appeared on OHBULAN!.





