
Penyanyi, Bibi Qairina enggan mengiyakan mahupun menidakkan dakwaan dia bakal menamatkan zaman bujang pada tahun ini.
Bakal berkahwin?

Bibi atau nama lengkap Bibi Nur Qhairina Abu Bakar, 25, sebaliknya meminta semua pihak mendoakan yang terbaik untuknya dan tidak menolak rezeki jika diizinkan naik ke jenjang pelamin pada usia muda.
Insya-Allah, kita semua tidak tahu jodoh kita dengan siapa, jodoh terletak di tangan Tuhan. Saya hanya boleh merancang, tapi di atas (Allah) yang tentukan.
Saya tidak mahu ulas terlalu berlebihan, tetapi minta semua pihak mendoakan yang terbaik untuk saya. Tetapi saya tidak menolak rezeki dan jodoh.
Enggan terlalu berkongsi berlebihan, Bibi bagaimanapun memberitahu, dia dan kekasihnya itu belum mengikat tali pertunangan.
Belum lagi (bertunang), tetapi semuanya insya-Allah. Saya risau untuk kongsi berlebihan dan takut jika apa dirancang tidak menjadi. Saya hanya mampu doa yang terbaik sahaja. Semoga dipermudahkan.
Ciri lelaki idaman

Sudah empat tahun saling mengenali antara satu sama lain, Bibi berkata, kekasihnya mempunyai ciri lelaki idaman untuk dijadikan calon suami.
Saya dan si dia sudah lama berkawan, sudah hampir empat tahun. Perjalanan hubungan kami baik-baik sahaja. Dia bukan orang dalam industri.
Alhamdulillah, si dia ada ciri-ciri lelaki idaman saya. Saya sangat mementingkan seorang lelaki yang bertanggungjawab dan pandai mengambil hati saya dan dapat restu keluarga.
Dalam perkembangan lain, Bibi bakal melancarkan sebuah album EP yang kesemua lagu bakal dimuatnaik merupakan ciptaanya sendiri.





