
Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memutuskan kes permohonan cerai pasangan pelakon, Beego dan Linda Hashim akan diteruskan dengan pelantikan Jawatankuasa Pendamai (JKP) pada 23 April depan.
Lantikan JKP

Perkara yang diputuskan di hadapan hakim, Wan Mohd Najib Wan Hamat itu dimaklumkan oleh peguam syarie mewakili Beego iaitu Muhammad Akmal Amzah.
Tarikh akan datang adalah untuk lantikan wakil JKP dan kami sudah putuskan untuk melantik ahli keluarga dan pihak sana juga akan melantik ahli keluarga.
Sementara itu, Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, berkata dia memilih ibunya sebagai wakil JKP bagi pihaknya.
Saya akan melantik orang yang paling dekat dengan saya iaitu emak saya sebab seluruh senario dan situasi, emak saya tahu. Cuma lantikan ini untuk yang baik-baik saja.
Linda mahu cerai

Sementara itu, peguam syarie mewakili Linda iaitu Nurul Fadzilah Kamaluddin berkata anak guamnya tetap bertegas untuk meneruskan perceraian.
Hari ini adalah sebutan kedua, sebutan pertama adalah pada 6 Februari lalu dan alhamdulillah hari ini defendan (Beego) hadir bersama peguamnya.
Hari ini kami menyatakan pendirian anak guam saya, Linda yang mahu meneruskan perceraian ini namun defendan tidak bersetuju meneruskan dan tidak ingin untuk menceraikan Linda hari ini, jadi kes ditangguhkan selepas raya.
Terdahulu, Linda memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, awal Januari lalu atas alasan sudah tiada persefahaman.
Pada Mei 2023, Linda dan Beego hadir ke mahkamah sama bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak.
Hal itu berikutan mereka mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada 9 April 2023 selepas bercerai pada 27 Mac tahun sama.
Linda pernah mendedahkan, mereka pernah bercerai buat kali kedua hanya selepas beberapa bulan kembali rujuk pada April 2023.
Bagaimanapun, mereka tidak mendedahkan perkara itu kerana bimbang dianggap mempermainkan institusi perkahwinan.
Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada Jun 2013. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6.





