Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan sukacitanya memaklumkan pelantikan semula Datuk Azmir Saifuddin Mutalib sebagai Ketua Pegawai Eksekutif FINAS bagi tempoh 1 November 2025 hingga 31 Oktober 2027.
Artikel Berkaitan: FFM34: FINAS Ambil Positif Teguran Isu Poster, Pertimbang Cadangan Adakan Pertandingan Pada Edisi Akan Datang
Kekal sebagai CEO

Azmir merakamkan penghargaan kepada Menteri Komunikasi, Timbalan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Pengerusi FINAS serta Ahli-Ahli Perbadanan FINAS atas kepercayaan dan dukungan yang diberikan.
Azmir turut menyatakan penghargaan kepada seluruh warga kerja FINAS dan rakan-rakan industri yang sentiasa berganding bahu sebagai satu pasukan dalam memacu pertumbuhan sektor kreatif negara.
Bagi penggal kedua kepimpinannya bagi tahun 2025 hingga 2027, Azmir menegaskan fokus utamanya adalah terhadap beberapa inisiatif penting yang akan memperkukuh dasar, tadbir urus dan ekosistem industri filem tempatan.
Antara tumpuan utama ialah Pindaan Akta FINAS 1981 (Akta 244) yang bertujuan memperkemas perundangan serta tadbir urus industri bagi melindungi kebajikan kru produksi, memodenkan sistem perlesenan dan menyokong model pekerjaan kreatif yang lebih kontemporari.
Selain itu, pelaksanaan Dasar Perfileman Negara (DFN) 2025–2035 turut menjadi agenda besar FINAS dengan pelan pembangunan 10 tahun yang merangkumi matlamat menjadikan Malaysia sebagai Hab Industri Kreatif ASEAN.
Dasar ini juga menekankan kepada pemerkasaan IP Monetization dan pasaran eksport, pembangunan produser serta showrunner tempatan, kerjasama dalam bidang pembiayaan filem dan penerbitan bersama antarabangsa, penyelarasan naratif kebangsaan yang progresif serta kolaborasi strategik antara industri dan institusi pendidikan.
Dalam usaha merancakkan lagi aktiviti produksi di dalam negara, sejumlah RM110 juta diperuntukkan di bawah Insentif Galakan Industri Filem.
Daripada jumlah itu, RM10 juta dikhususkan kepada kandungan yang berteraskan semangat kenegaraan bagi memperkukuh jati diri serta identiti nasional melalui medium kreatif.
FINAS terus komited

Di samping itu, Dana Belia Kreatif MADANI akan dilaksanakan bagi melahirkan generasi pencipta kandungan yang berilmu, bertanggungjawab dan berjiwa patriotik.
Program ini turut memberi tumpuan kepada pembangunan bakat di kampus dan komuniti belia di seluruh negara.
Menelusuri pencapaian penggal pertama Azmir bagi tempoh 2023 hingga 2025, FINAS berjaya memastikan pemulihan ekosistem pasca pandemik melalui usaha berstruktur bersama penggiat industri dan pengendali panggung bagi memastikan kelangsungan operasi pawagam serta rantaian perniagaan produksi.
Kutipan filem tempatan turut menunjukkan pertumbuhan kukuh dengan mencatat sekitar RM180 juta sehingga Oktober 2025, berbanding RM170 juta sepanjang tahun 2024. Ini merupakan tiga tahun berturut-turut filem Malaysia mengatasi kutipan filem Hollywood di pasaran tempatan.
Kejayaan ini turut disokong oleh pelaksanaan Skim Wajib Tayang serta rundingan berkesan antara penerbit dan operator panggung, yang telah meningkatkan keyakinan penonton terhadap karya tempatan.
Di peringkat antarabangsa, filem-filem Malaysia seperti Abang Adik, Tiger Stripes, Raintown, dan Imam berjaya menembusi festival filem global, sekali gus mengangkat nama Malaysia sebagai sumber sinema berkualiti yang semakin mendapat pengiktirafan dunia.
Dalam melihat landskap industri dua tahun akan datang, Malaysia kini berada dalam kedudukan strategik di rantau ini dengan ekosistem pawagam yang kembali stabil serta berpotensi untuk berkembang dalam jangka panjang.
Platform penstriman antarabangsa seperti iQiyi, Viu, Astro dan Netflix terus melabur dalam penerbitan drama bersiri tempatan selain memanfaatkan insentif FIMI yang disediakan. Siri seperti Bidaah, One Cent Thief dan Nenek Si Bongkok Tiga menjadi bukti kandungan tempatan masih relevan dan mendapat tempat di pasaran global.
FINAS juga akan memperkukuh Skim Co-Production Antarabangsa serta memperkenalkan model pembiayaan filem (Film Financing Model) baharu yang mampu menarik pelaburan serantau dan antarabangsa ke dalam industri kreatif Malaysia.
Dalam pada itu, semasa ASEAN Film & TV Summit 2025, Malaysia turut menyaksikan lahirnya Deklarasi Belia Kreatif ASEAN yang menandakan komitmen kolektif generasi muda rantau ini terhadap integriti kreatif, keterangkuman budaya dan kepelbagaian naratif sinema Asia Tenggara.
Deklarasi ini mengangkat Malaysia sebagai peneraju kepimpinan budaya serantau, selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi hab pertumbuhan industri kreatif ASEAN.
Ini adalah wajah baharu FINAS. Melalui pindaan Akta FINAS dan penambahbaikan Dasar Perfileman Negara (DFN), FINAS akan memberikan perkhidmatan yang lebih cekap, telus dan mesra industri.
Kami akan memperkukuh fasiliti teknologi di Hulu Kelang sebagai pusat kecemerlangan produksi serta memperluas program infrastruktur kandungan di Sabah dan Sarawak untuk membangunkan Borneo Content sebagai jenama strategik Malaysia di peringkat antarabangsa.
FINAS komited untuk merakyatkan dan meletakkan industri filem Malaysia sebagai industri yang dinamik, mampan, inklusif dan diiktiraf di persada global, mencerminkan identiti pelbagai bangsa serta menyumbang kepada perpaduan dan ekonomi negara.
The post Azmir Saifuddin Terus Memimpin FINAS, Pengukuhan Industri Filem Negara Antara Empat Fokus Utama first appeared on OHBULAN!.





